PRK DUN Nenggiri: Kombinasi Calon Dan Jentera Lonjakkan Keyakinan BN

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Barisan Nasional (BN) Kelantan khususnya jentera setempat dilihat mempunyai formula tersendiri dalam usaha membantu kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan diadakan bulan depan.

Keyakinan ini disuarakan Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang berpandangan kelebihan calon itu sendiri selain jentera tempatan yang faham selok-belok pendekatan akan dapat meraih sokongan.

“BN telah bersedia dengan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calonnya setelah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan kekosongan luar jangka N43 Nenggiri pada 13 Jun yang lepas.

“Kelebihan BN meletakkan calon anak tempatan dan juga beliau telah berkhidmat di kawasan tersebut sewajarnya diberikan peluang dan dipilih oleh pengundi.

“Ditambah pula dengan pengaruh Tengku Razaleigh ‘Ku Li’ yang juga seorang veteran UMNO pernah menyandang kerusi Parlimen Gua Musang, iaitu kawasan Parlimen yang di dalamnya ada DUN Nenggiri selama 12 penggal memberikan laluan sukar buat parti lawan untuk mempertahankan kemenangannya sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi jentera sedia ada BN dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan tentunya akan berusaha sebaik mungkin dalam usaha membantu kemenangan calon BN nanti.

“Kita amat yakin jentera BN-PH negeri akan memberikan komitmen dan sokongan yang penuh untuk mengerakkan dan membantu kerja-kerja kempen BN  dan tidak perlulah pemimpin luar hadir untuk mengerakkan kempen kerana sudah pasti Nenggiri ini ada caranya yang tersendiri untuk meraih sokongan pengundi dan merampas semula kerusi DUN Nenggiri.

“Jumlah pemilih berdaftar seramai 20,259 pengundi yang dijangka akan turun membuang undi pada 13 Ogos 2024 bagi pengundian awal dan hari mengundi umum pada 17 Ogos 2024 bulan hadapan dan semestinya kita yakin dengan kemampuan BN akan meraih kembali kemenangan dan diberikan mandat oleh rakyat untuk mewakili Nenggiri di dalam DUN Kelantan,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit