Musuh Dalaman Parti Ibarat Virus Dan Kanser, Berpolitik Untuk Menang Pilihan Raya
BALIK PULAU, 26 Julai – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata UMNO perlu mengambil tindakan tegas kepada ahli yang terbukti menjadi musuh dalaman dan bersubahat dengan pihak lawan terutama ketika musim pilihan raya.
Tegasnya, objektif berparti adalah untuk menang pilihan raya dan membiarkan mereka berada dalam parti boleh diibaratkan seperti virus dan kanser kepada parti.
“Objektif berparti menang pilihan raya. Ahli-ahli yang masuk parti kena faham tujuan menjadi ahli parti. Kalau masuk parti dan bersubahat dengan pihak lawan partinya, lebih baik jangan jadi ahli parti.
“Bila terlibat dengan parti… kena menang (pilihan raya). Pemimpin datang dan pergi, hari ini mungkin pemimpin sebegini dia tak suka, besok mungkin dia pula jadi pemimpin, maka kalau tak reset minda… itu masalah, satu kanser dalam parti,” katanya kepada UMNO Online.
Shah Headan ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini di sini.
Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Shah Headan berkata semua parti politik di negara ini yang memasuki medan pilihan raya adalah untuk memenanginya dan ia memerlukan komitmen dan jati diri yang tinggi daripada ahli-ahlinya.
Seterusnya, ujar Shah Headan, sudah tiba masanya UMNO melihat kepada kualiti ahli berbanding jumlah yang ada sepertimana beberapa parti yang mempunyai sedikit ahli tetapi mempunyai jentera yang sangat berkesan.
“Sekarang ini kita dalam membuang lemak-lemak, kolesterol banyak sangat. Saya minta untuk kita dapat ahli yang berkualiti ini kena ada satu pendedahan dan cara yang baru. Kita betul-betul buat pembersihan.
“Ibarat orang yang banyak lemak hendak lari seratus meter pun tak boleh, apatah lagi lari marathon. Politik adalah marathon dan UMNO mesti pulih untuk mendepani pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama ulas Shah Headan, UMNO pusat juga perlu memberi kepercayaan kepada UMNO bahagian dalam mengendalikan urusan keahlian agar mempunyai akar umbi yang benar-benar berkualiti mempertahankan parti.
Ujarnya lagi, UMNO masih mempunyai peluang untuk kembali bangkit kerana mempunyai akar umbi yang kukuh dan dengan syarat mempunyai jentera yang kuat. – UMNO ONLINE