Bersama Parti Nasional Mampu Bawa Perubahan Kepada Pembangunan Sabah

SANDAKAN, 26 Julai – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Said Keruak berharap rakyat di negeri ini untuk tidak terpengaruh dengan dakwaan segelintir pihak yang mengajak untuk hanya memilih parti tempatan, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata sebaliknya hanya melalui formula bersama parti-parti nasional mampu membawa perubahan kepada pembangunan di negeri ini.

“Jangan terjangkit dengan penyakit blok borneo hanya parti tempatan untuk orang Sabahlah. Tidak ada yang berlaku kerajaan Persekutuan daripada parti nasional ini mengambil hak orang Sabah.

“…kerana parti nasionallah yang menyembalikan hak orang Sabah kepada orang Sabah. Mereka parti tempatan, parti pemerintah apa mereka lakukan? Tidak ada… sekadar teriak sana sini lepas itu minta bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

“Hakikatnya kalau kita mahu membangun tidak ada pilihan formula terbaik dan sesuai untuk Sabah ialah gabungan parti nasional dan gabungan parti tempatan. Inilah kita harus lawan jangan takut berdepan dengan isu ini sedangkan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang membawa pembangunan, kemajuan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan lain.

Mohamed Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dalam pada itu berkata UMNO/BN yang dikemudi oleh Bung Moktar perlu diberi peluang untuk kembali mentadbir negeri ini bagi memastikan agenda memakmurkan negeri dan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Saya harap UMNO/BN diberi peluang untuk menentukan apapun gabungan kita untuk membuat keputusan kerana gabungan itu mestilah berasaskan tiga perkara iaitu politik pembangunan, autonomi dan akomodasi atau perkongsian kuasa.

“Insya-Allah, BN Sabah di bawah kepimpinan Bung Moktar sediakan resipi untuk membangun negeri. Kita sediakan apa yang harus dilakukan masalah rakyat, dengan perancangan peluang pekerjaan , masa depan anak-anak muda,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.