Ancaman, Senario PRU Akan Datang Berbeza… Manfaatkan Kebijaksanaan Melebihi Emosi

PENGERANG, 26 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said melihat ancaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jauh berbeza dengan PRU-PRU sebelum ini.

Malah beliau turut berpandangan PRU akan datang cukup berbeza dengan apa yang dilalui sebelum ini dan sewajarnya ahli parti termasuklah kepimpinan pelbagai peringkat dapat menyelaminya secara mendalam.

“Saya selalu melihat bahawa kadang-kadang kita dalam UMNO ini, pertama sekali sebagai parti sebahagian di dalam kerajaan hari ini, kita mesti memahami siapa sebenarnya musuh kita, musuh sebenar kita. Adakah musuh sebenar kita ini musuh yang kita tahu memang musuh kita ke?

“Ataupun mereka yang nampak macam kawan sebenarnya mereka musuh. Jadi itu sebab bagi saya, kebijaksanaan tu penting. Sebab sebagai parti politik, kita tidak boleh beremosi. Kita mesti mempunyai gerakan yang apa sekalipun memberi keuntungan dan kekuatan kepada parti. Itu kebijaksanaan.

“Jadi saya nak mintalah ahli parti dan sebagai Ketua Penerangan kita mengambil peranan dan iktibar dalam mesyuarat agung tahunan kita ini, khususnya ke arah Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlaku pada hujung bulan Ogos ini. Kita mesti gerakkan supaya bahagian kita yang kita lihat boleh membawa kembali kekuatan dan kemenangan itu akan menjadi keutamaan,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama-sama perwakilan UMNO Bahagian Pengerang mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian berkenaan yang dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu dalam ucapannya beliau mengajak perwakilan serta ahli agar memanfaatkan kebijaksanaan melebihi emosi yang akhirnya akan menguntungkan parti.

“Kita kena buat persediaan untuk PRU-16 dan kita pun kena terima hakikat yang kita ini tidak majoriti dalam kerajaan. Kalau kita terlampau beremosi, kerana kita bukan majoriti dalam kerajaan, itu satu langkah yang tak bijak.

“Kita mempunyai akal, memahami kita ini bukan majoriti. Kedua-duanya, apapun saya melihat tujuh menteri kita, timbalan menteri kita, empat orang menteri besar dan ketua menteri kita banyak menjalankan tugas dan tanggungjawab meletakkan kembali semua dasar-dasar yang mereka laksanakan dan sebagai yang bertanggungjawab sebahagian daripada kerajaan yang meletakkan keutamaan untuk memberikan kekuatan kembali kepada parti.

“Bererti bahawa kita ini macam dua dalam satulah, kita sebahagian daripada kerajaan tapi pada masa sambil kita memberikan kekuatan kepada parti supaya kita lebih bersedia untuk PRU-16. Ancaman dan cabaran bagi parti kita PRU-16 ini berbeza daripada PRU-15,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.