Ahmad Zahid Beri Komitmen Penuh Pastikan KKDW Pemacu Kemajuan, Pembangunan Desa
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Memasuki hari kedua Permukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar dan meneliti setiap pembentangan oleh syarikat-syarikat milikan agensi kementerian.
“Mengapa saya memberikan komitmen sepenuhnya terhadap permukiman ini? Kerana saya sangat serius untuk bersama-sama dengan warga KKDW bagi menggerakkan agenda pembangunan luar bandar sekaligus menjadikan kementerian ini sebagai pemacu kemajuan dan pembangunan desa pada tahun 2024.
“Melalui pembentangan ini, ianya telah memberikan gambaran jelas tentang pencapaian dan perancangan masa depan oleh setiap anak syarikat KKDW, di samping dapat bersama-sama membantu dalam melontarkan idea dan cadangan untuk penambahbaikan bersama,” kata Presiden UMNO itu menerusi satu hantaran di akaun X.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap setiap usaha yang dilaksanakan ini dapat membawa manfaat besar kepada masyarakat desa dan terus memacu pembangunan luar bandar secara menyeluruh.
Sebagai rekod, dalam Permukiman KKDW 2024 pada Januari lalu Ahmad Zahid telah mengumumkan sebanyak enam fokus utama digariskan kementerian yang berupaya menjadi pengubah keadaan untuk pembangunan desa khususnya membabitkan 15,000 kampung di seluruh negara.
Enam fokus utama tersebut adalah Ekonomi dan Keusahawanan, Pengukuhan Tadbir Urus dan Kemampanan Agensi dan Anak Syarikat, Pendidikan, Infrastruktur dan Teknologi, Kepimpinan Desa dan Tatakelola dan Sistem Penyampaian.
Semalam, pada hari pertama permukiman yang diadakan di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Ahmad Zahid dalam ucaptamanya berkata laporan prestasi awal menyatakan 100 anak syarikat agensi di bawah kementerian itu telah menunjukkan keuntungan secara keseluruhannya.
Dilaporkan, antara anak syarikat yang mencatat keuntungan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah PERDA Venture dengan rekod keuntungan RM2.7 juta dan KEDA Group of Companies berjumlah RM243,706.
Manakala terdahulu dalam satu hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid turut menyenaraikan beberapa syarikat lain yang telah menunjukkan peningkatan pendapatan yang signifikan berbanding Jun tahun lalu seperti RISDA Estate Sdn Bhd yang telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM7.1 juta, Kolej RISDA Sdn Bhd RM1.26 juta, Sinergi Perdana Sdn Bhd RM6.3 juta, KETENGAH Holding RM8.66 juta, KETENGAH Perwira Sdn Bhd RM14 juta dan banyak lagi.
“Saya percaya, meskipun banyak anak syarikat ini berupaya mencatatkan keuntungan yang membanggakan, ia tidak sesekali mengorbankan kepentingan awam, sebaliknya prestasi kewangan yang kukuh, membolehkan syarikat milikan agensi memenuhi keperluan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE