Pusat Pendidikan Tidak Wajar Didanai Daripada Sumber Syarikat Terlibat Aktiviti Mudarat – Majlis Ulama UMNO

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Majlis Ulama UMNO Malaysia menegaskan prinsip bahawa dana sumbangan daripada mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber bagi mana-mana pusat pendidikan dalam negara.

“Hal ini kerana ia merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh anak-anak pelajar dan juga masyarakat sivil yang baik.

“Ini juga selaras dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 29 Mac 2018, yang menyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tata cara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” kata Majlis Ulama UMNO Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Merujuk kepada kehadiran timbalan menteri dalam program seumpama itu, menurut kenyataan itu, difahamkan ia berlaku kerana salah faham dan timbalan menteri berkenaan telah memohon maaf atas kekhilafan.

Namun, Majlis Ulama UMNO menegaskan dan berharap ia tidak akan berulang lagi kepada mana-mana pemimpin kerajaan kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada rakyat bahawa berlaku normalisasi terhadap penerimaan dana daripada aktiviti seperti ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.