Permukiman KKDW 2024: Komitmen, Ketekunan Semua Pihak Penting Mempercepatkan Transformasi Desa
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tentang kepentingan komitmen dan ketekunan dalam melaksanakan kesemua enam fokus utama dan 62 program pembangunan desa yang telah ditetapkan pada permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) awal tahun ini.
Berucap di ucaptama Permukiman Program Utama KKDW 2024 hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata permukiman pada kali ini adalah untuk melihat dan memperhalusi laporan progres pertengahan tahun agar setiap tindakan yang sedang atau akan dilaksanakan dapat dibuat dengan sempurna.
“Saya sentiasa mahu yang terbaik daripada pasukan saya. Saya percaya kita sentiasa mempunyai ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.
“Warga KKDW mestilah terus berkolaborasi, bekerjasama dengan pemegang taruh lain supaya segala sumber dan tenaga dapat dioptimumkan untuk mempercepatkan Transformasi Desa.
“Sebagai pelaksana, kita perlu miliki jiwa dan roh untuk membangunkan warga desa. Jadikan diri kita sebahagian daripada 8.1 juta masyarakat desa,” kata Presiden UMNO itu dalam satu hantaran di akaun X.
Di samping itu, Ahmad Zahid menyeru semua pihak bersungguh dan berpadu menjiwai pembangunan desa.
“Dengan usaha bersama, saya sangat optimis bahawa KKDW mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang demi kesejahteraan masyarakat luar bandar. Insya-Allah,” katanya.
Sebagai rekod, dalam Permukiman KKDW pada Januari lalu Ahmad Zahid telah mengumumkan sebanyak enam fokus utama digariskan kementerian yang berupaya menjadi pengubah keadaan untuk pembangunan desa khususnya membabitkan 15,000 kampung di seluruh negara.
Enam fokus utama tersebut adalah Ekonomi dan Keusahawanan, Pengukuhan Tadbir Urus dan Kemampanan Agensi dan Anak Syarikat, Pendidikan, Infrastruktur dan Teknologi, Kepimpinan Desa dan Tatakelola dan Sistem Penyampaian. – UMNO ONLINE