Peranan, Fungsi GIATMARA Penting Sejajar Dengan Dasar TVET Negara

KUALA LUMPUR 25 Julai – Peranan dan fungsi GIATMARA menjadi lebih penting sekarang sejajar dengan Dasar TVET Negara yang telah dilancarkan tahun ini, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO, pemerkasaan GIATMARA adalah seiring dengan agenda berterusan MARA bagi terus memberikan peluang belia bumiputera untuk mencorak masa depan mereka.

“Memandangkan UMNO ada di hampir setiap kampung dan desa, perlu aktif kerjasama dengan MARA dan GiatMARA kenal-pasti anak-anak yang susah, terpinggir mahupun tergelincir daripada arus perdana pendidikan.

“Setiap mereka kena kita santuni dan bantu untuk mereka dibantu oleh MARA dan sekurang-kurangnya GiatMARA,” katanya dalam Sesi Libat Urus bersama Komuniti GIATMARA Negeri Johor, di Sheraton Desaru, Johor, dalam satu perkongsian di laman Facebook.

Tambah Dr Asyraf lagi, dalam interaksi bersama komuniti dari 26 buah pusat-pusat GIATMARA dalam negeri Johor itu, beliau menekankan pentingnya untuk terus memelihara dan memperkasakan fungsi GIATMARA.

Ini katanya bagi melahirkan graduan bumiputera yang berkemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi memenuhi keperluan industri.

Dalam sesi itu juga, Dr Asyraf menyampaikan watikah perlantikan kepada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GIATMARA di setiap Parlimen

“…dan peranan ini penting agar kursus yang ditawarkan sentiasa relevan untuk direbut dan dimanfaatkan oleh golongan belia bumiputera negeri Johor,” katanya.

Ujarnya lagi, GIATMARA akan terus diperkasakan sebagai salah satu institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang penting dalam agenda pendidikan negara. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.