Hentikanlah Propaganda Politik Murahan… Tidak Akan Ada Kerjasama Bersama Pas
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Pas diseru untuk menghentikan propaganda politik murahan yang dicipta kononnya mengatakan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) akan bersama mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Pengarah Komunikasi BN Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, propaganda politik yang sengaja dimainkan itu hanyalah untuk mengelirukan akar umbi.
“Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan bahawa spekulasi nakal kononnya UMNO akan bekerjasama dengan Pas pada PRU ke-16 nanti hanyalah tidak benar dan bersifat mengelirukan.
“Saya percaya, propaganda politik itu sengaja dimainkan oleh pimpinan Pas bagi mengelirukan sekali gus mempermain emosi akar umbi UMNO dan seterusnya memporak-perandakan dalaman UMNO.
“Kita boleh saja mencetus spekulasi kononnya Pas berkemungkinan besar keluar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan BN demi kebaikan bersama. Namun kita tidaklah tergamak membohongi masyarakat, khususnya ahli Pas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, cubaan eksploitasi Pas ini membuktikan bahawa PN memerlukan UMNO untuk membentuk gabungan.
“Justeru, hentikanlah propaganda politik murahan Pas ini, apatah lagi kedua-dua institusi Presiden parti telah mengesahkan tiada kerjasama politik UMNO dan Pas pada PRU ke-16 nanti.
“Saya percaya bahawa cubaan eksploitasi PAS ini membuktikan bahawa keberadaan UMNO bersama ahli-ahli adalah penting kepada PN kerana sokongan orang Melayu terhadap mereka sudah mencapai tahap ‘tepu’. Mereka memerlukan UMNO lebih daripada UMNO perlukan mereka. Maknanya, UMNO ini mahal dan bernilai tinggi kepada mana-mana gabungan dalam kancah politik tanah air terutamanya sebagai wadah politik orang Melayu.
“Walau bagaimanapun, secara peribadi, saya jujurnya tetap menganggap ahli Pas sebagai saudara seagama dan sebangsa. Air dicincang tidak akan putus, silaturrahim dan hubungan baik tetap akan diteruskan,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Pas mendedahkan ada beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama UMNO untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRU ke-16.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan siapa pemimpin UMNO tersebut.
Menurutnya, pemimpin utama UMNO tersebut meluahkan ‘rasa serba salah’ kerana bekerjasama dengan Kerajaan perpaduan yang didakwa merugikan.
Sementara itu pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pertemuan rasmi antara parti itu dengan Pas bagi membentuk kerjasama.
Ahmad Zahid berkata secara peribadi tiada yang hadir bertemu dengannya seperti yang didakwa. – UMNO Online