Dasar Peluang Kedua Bantu Rakyat Hadapi Insolvensi Dan Bankrap – Azalina

PUTRAJAYA, 25 Julai – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan Dasar Peluang Kedua merupakan salah satu inisiatif di bawah prinsip rukun ihsan untuk membawa pelaksanaan undang-undang kepada rakyat yang memerlukan.

Katanya, dasar ini telah diperluaskan kepada golongan bankrap untuk memberikan peluang mereka kembali menyumbang ekonomi negara dan menjalani kehidupan baharu.

“Agenda Dasar Peluang Kedua tidak terhenti setakat pelepasan bankrap sahaja, dasar ini menyasarkan pentadbiran insolvensi yang berkesan melalui pengurusan dan penghasilan harta insolvensi yang cekap dan berkesan termasuk harta melibatkan syarikat yang digulung.

“Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia telah mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta khususnya dengan Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (iPAM) dalam usaha memperkasakan pengurusan dan penghasilan harta insolvensi.

“Ia menyasarkan pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuatkuasa. Komitmen kerajaan dalam ‘roll out’ bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara dan kerajaan telah berjaya melebihi sasaran pelepasan bankrap dengan jumlah 142,510 kes,” beliau berkata demikian pada 100 tahun Insolvensi di Putrajaya Intenational Convention Centre (PICC).

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Undang-Undang Dan Reformasi, M. Kula Segaran, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Mohd Zuki Ali.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata selaras dengan arus pemodenan teknologi dan ‘trend’ masa kini pembangunan sistem pendigitalan memainkan peranan penting dalam memodenkan pelaksanaan operasi.

“Pelbagai usaha kerajaan dalam memperkasakan pendigitalan di peringkat agensi-agensi kerajaan secara amnya dalam memacu daya saing pertumbuhan mampan. Kerajaan telah mengambil langkah mempertingkatkan penerimagunaan teknologi dan pendigitalan melalui pembangunan Enterprise Architecture (EA) dengan memperkukuhkan rantaian nilai dan menambah baik mekanisme tadbir urus.

“Kerajaan juga akan menjalankan kajian kebolehsanaan bagi cadangan pemerbadanan jabatan insolvensi selaras dengan ‘global best practices’ melalui perbandingan negara-negara lain dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat menggalakkan pengaliran wang serta pertumbuhan ekonomi sekaligus menarik pelaburan kewangan dan perdagangan antarabangsa ke Malaysia,” jelas beliau.

Ujarnya, ini merupakan satu lagi komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.