PRK Nenggiri: Veteran UMNO Seru Penyokong Pas Tolak Calon Bersatu, Cukuplah Jadi ‘Kuli Batak’

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menyeru penyokong Pas supaya menolak calon Bersatu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang bakal diadakan 17 Ogos depan.

Katanya, keputusan Bersatu yang akan menggunakan lambang Pas dalam PRK Nenggiri jelas membuktikan parti itu tidak mampu bertandiing atas logo sendiri dan terpaksa menumpang Pas.

“Cukuplah dengan menjadi ‘kuli batak’ kepada Bersatu. Pengalaman bekas wakil rakyatnya yang menyokong PMX (Perdana Menteri Kesepuluh) jelas membuktikan bahawa gagasan PN (Perikatan Nasional) tidak mampu mentadbir Kelantan tanpa bantuan kerajaan pusat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Jelas beliau, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Bersatu menang beberapa kerusi di Kelantan dengan sokongan Pas dan ahli Pas telah mengundi calon Bersatu bukan kerana calon itu tetapi kerana logo Pas.

“Sebab itu dalam PRK Nenggiri Bersatu terpaksa menggunakan logo Pas dengan alasan Bersatu adalah komponen Perikatan Nasional. Berbeza dengan PRK Sungai Bakap, walaupun calonnya dari Pas tetapi mengguna logo PN.

“Bersatu tidak berani menggunakan logonya atau logo PN di Nenggiri kerana mereka tahu penyokong Pas tidak akan mengundi calon Bersatu. Tapi dengan menggunakan logo Pas maka Bersatu boleh bermain silap mata dengan pengundi Pas,” katanya lagi.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos depan, manakala 17 Ogos pula hari pengundian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.