Pasukan Khas Gabung 4 Kementerian Ditubuh Kaji Undang-Undang Banteras Buli Siber

BUTTERWORTH, 21 Julai – Pasukan khas menggabungkan empat kementerian ditubuhkan bagi membincangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), khusus untuk membanteras buli siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pasukan khas itu melibatkan pihaknya bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, pasukan khas berkenaan akan memperhalusi perkara yang dibangkitkan berhubung buli siber, disusuli cadangan penganjuran satu seminar antarabangsa berkait undang-undang keselamatan dalam talian.

“Kita nak belajar dari negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura. Ini disebabkan ada pertikaian antara elemen demokrasi, berkait hak asasi.

“Kita nak tahu apa had pada hak asasi kerana ada orang kata, buli siber tak sentuh (fizikal), hanya cakap (tulis) saja,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Perai, dekat sini hari ini.

Buli siber berlaku melalui medium elektronik atau dalam talian seperti media sosial, e-mel, mesej teks dan laman web yang boleh memberi kesan emosional serius terhadap mereka yang menjadi sasaran serangan.

Jenayah itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti menghantar mesej menghina, menyebarkan khabar angin palsu, mencuri identiti dalam talian dan memuat naik gambar atau video yang memalukan seseorang.

Azalina menjelaskan, buli siber bukan jenayah yang berlaku sekali sahaja, sebaliknya bersusulan, termasuk menyebar maklumat peribadi dan melakukan ugutan atau menakut-nakutkan mangsa.

“Paling dahsyat dia wujudkan kebencian dan menggalakkan orang lain. Kita tak mahu generasi muda, anak-anak kita tertekan dari segi emosi dan melakukan sesuatu yang tak elok pada diri mereka,” katanya.

Azalina berkata, pindaan itu juga perlu dibuat untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber, yang ketika ini tiada takrifan khusus dalam undang-undang negara ini, dapat dikuatkuasakan secara efektif di Malaysia.

Justeru, katanya, empat kementerian berkenaan perlu menentukan definisi mengenai buli siber terlebih dahulu sebelum pindaan undang-undang dibuat dan kemudian diharap dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen, Oktober depan.

Khamis lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menangani buli siber.

Untuk itu, perbincangan merentasi empat kementerian berkenaan digerakkan kerana undang-undang sedia ada bukan sahaja perlu diperketatkan dari segi takrifan dan definisi buli siber, tetapi merangkumi aspek denda atau hukuman yang wajar dikenakan.

Desakan penggubalan undang-undang baharu itu ekoran kematian pempengaruh, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha yang dikaitkan sebagai mangsa buli siber.

Wanita berkenaan ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Selasa lalu, pemilik rumah kebajikan, P Shalini yang dikaitkan dengan kematian Esha didakwa di mahkamah, namun hanya dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan. – BHarian

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.