Suraya Hargai Komitmen Ahli, Kepimpinan Akar Umbi Sebagai Penggerak UMNO

PENDANG, 20 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Suraya Yaacob menghargai jasa ahli dan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi sebagai penggerak parti sama ada ketika UMNO berkuasa mahupun tidak.

Katanya, komitmen mereka yang berada di peringkat Cawangan dalam melaksanakan tanggungjawab sangat bermakna supaya UMNO terus dapat memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ketua UMNO Cawangan yang telah selesai menjalankan tugas dan tanggungjawab bermesyuarat dengan baik di cawangan masing-masing.

“Bagi pihak UMNO Bahagian Pendang, saya ucapkan tidak terhingga di atas sokongan dan dukungan di peringkat cawangan kepada UMNO Bahagian Pendang. Tidak mungkin UMNO Bahagian Pendang dapat bergerak tanpa sokongan Ketua dan kepimpinan UMNO Cawangan masing-masing,” katanya di hadapan hampir lapan ratus perwakilan yang hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang, di Dewan Cenderawasih di sini pada Jumaat.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Raffi merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh.

Hadir sama wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang juga Bendahari UMNO negeri dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, bekas Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul dan barisan kepimpinan empat peringkat UMNO Bahagian Pendang.

Sebagai rekod, Suraya dan Shahanim merupakan antara lima wanita yang menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian di antara 191 UMNO Bahagian di seluruh negara.

Selain mereka berdua, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi Ketua UMNO Bahagian Pengerang; Datuk Shahaniza Shamsuddin (Maran); dan Musliati Moslimin (Kota Kinabalu).

Tambah Suraya lagi, kejayaan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bermesyuarat dengan jayanya juga sungguh memberangsangkan.

Seterusnya dalam ucapannya, Suraya yang juga Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia berkata UMNO Bahagian Pendang kini sedang melalui satu fasa yang berbeza daripada sebelumnya.

Ujarnya, UMNO Bahagian Pendang kini tidak mempunyai seorang pun wakil yang menjadi wakil rakyat baik di peringkat negeri mahupun Parlimen dan memerlukan sokongan dan dukungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

“Terima kasih kepada Kementerian Desa dan Kemajuan Wilayah terutama kepada menterinya yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah melantik 94 JPKKP di Pendang yang terdiri daripada 62 di kalangan Ketua-ketua UMNO Cawangan.

“Pentadbiran yang dulunya berpusat kepada seorang wakil rakyat, hari ini berpindah kepada JPKKP ini. Yang penting memperkasa UMNO di akar umbi. Pemulihan sokongan di akar umbi sama ada daripada ahli atau rakyat mesti didorong dan didukung oleh JPKKP yang dilantik dan jawatankuasa yang dipilih.

“Ketua-ketua UMNO Cawangan perlu membantu ahli dari segi kebajikan, pembangunan, pendidikan dan ekonomi,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.