Pemuda UMNO Guna Cara Berbeza, Perjuang Suara Rakyat – Dr Akmal

SHAH ALAM, 20 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menggunakan cara yang berbeza untuk mendekati rakyat di samping terus memperjuangkan suara mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO perlu berani untuk membawa suara rakyat sekiranya mahu bertakhta semula di hati mereka.

“Saya rasa semua rakyat lebih kurang sama sahaja. Siapa pemimpin yang bawa suara mereka, itulah pemimpin diidami. Meliputi segenap lapisan rakyat, baik dari kampung mahupun bandar.

“Jadi, UMNO ini adalah parti asas… parti rakyat. Jadi sebab itu tadi dalam ucapan saya ada menyebut kalau UMNO mahu kembali bertakhta di hati rakyat, maka UMNO perlu berani untuk membawa suara rakyat. Berani untuk ceritakan tentang bagaimana mereka mahu membantu rakyat dan sebagainya.

“Kita juga perlu kurangkan berpolitik. Sebab hari ini rakyat sendiri, mereka dah malas ataupun muak dengan orang politik. Apatah lagi apabila dengar berita mengenai ‘katak-katak’ politik ini, sudah tentulah mereka rasa jemu dengan orang politik,” katanya kepada pemberita sejurus selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang, di sini, hari ini.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO menggunakan pendekatan untuk memperjuangkan suara rakyat meskipun ada beberapa perkara yang menongkah arus parti.

“Pada hari ini UMNO perlu mengambil peluang dan ruang untuk menunjukkan serta membuktikan kepada rakyat bahawa parti ini daripada dulu, kini dan selamanya adalah parti yang sentiasa menjadi jurucakap mengenai suara rakyat.

“Jadi, sebab itu Pemuda UMNO membawa pendekatan yang agak berbeza. Kita bawa suara rakyat sebenar walaupun ada satu atau dua perkara yang kadang-kadang tidak dipersetujui parti. Tapi, jika itu suara rakyat, maka itulah yang wajib kita bawa.

“Saya menghargai semua pendapat. Tapi, seperti yang saya maklumkan dalam ucapan saya sebentar tadi, tugas utama kami adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. Itu yang kami lakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah hadir bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang yang diadakan di Bangunan UMNO Selangor, di sini.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang, Seripah Noli Syed Hussin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Subang, Hanis Hazwani dan seluruh kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.