Malaysia Saksi Pertabalan Sultan Ibrahim Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-17

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara Malaysia.

Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Istiadat penuh gilang-gemilang itu pastinya dinantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia, selain menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa, sekali gus mempamerkan keunikan dan keutuhan warisan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat bersejarah itu akan dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

Tetamu diraja dari luar, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijadual berangkat ke istiadat itu.

Istiadat berkenaan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen televisyen lain, termasuk pelbagai platform media sosial dan buat kali pertama, istiadat itu juga boleh disaksikan rakyat menerusi “wayang pacak” yang disediakan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Komuniti MADANI di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.