Struktur Industri Halal Terus Diperkasa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), beliau mengambil tanggungjawab untuk melihat keseluruhan ekosistem industri Halal Malaysia.

Menurut beliau tidak dinafikan bahawa Pensijilan Halal di Malaysia telah pun mendapat pengiktirafan dunia, namun ini bukan bermakna negara terus berpuas hati dengan kedudukan ini malah perlu membuat penilaian semula yang bersesuaian dengan kehendak semasa.

“Antara perkara yang perlu kita lihat dan teliti adalah struktur industri halal itu sendiri yang melibatkan proses Pensijilan Halal, Pengurusan Bakat Halal, Dasar Halal Negara, Pelan Pembangunan Halal dan Pelan Pemasaran Halal. Sehubungan itu, pemegang-pemegang taruh Industri Halal Negara akan mengadakan satu bengkel khas bagi menambah nilai kepada apa yang sedia ada di sektor Halal Negara.

“Sehingga Julai 2024, jumlah syarikat mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah sebanyak 9,146 buah syarikat. Daripada jumlah tersebut sebanyak 8,105 buah syarikat merupakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Manakala, 3,616 syarikat adalah syarikat milikan Bumiputera dan 5,270 merupakan bukan Bumiputera. Jumlah Syarikat Multinasional (MNC) yang memperoleh sijil halal adalah sebanyak 1,041 syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi waktu pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pelan tindakan yang diambil Kerajaan untuk memperkasakan industri halal khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat Bumiputera, syarikat luar bandar mahupun usahawan muda sejajar sasaran Malaysia menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025.

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya menambah dalam usaha mempertingkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 telah menggariskan satu Teras Strategik yang memfokuskan kepada galakkan peningkatan daya saing syarikat Bumiputera.

Tambahnya Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah menjalankan pelbagai usaha antaranya program-program pembangunan melibatkan syarikat tempatan.

“Melalui program tersebut syarikat Bumiputera akan diberi peluang untuk menceburi sektor halal yang berpotensi tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan serta pengadaptasian teknologi digital dan pengkomersilan produk-produk inovasi.

“Contohnya Malaysia Global Halal Show 2024 yang menawarkan khidmat bimbingan kepada syarikat untuk menembusi pasaran antarabangsa telah diadakan. Jumlah syarikat yang terlibat adalah sebanyak 153 buah syarikat.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 4 buah syarikat Bumiputera yang terlibat sebagai peserta mewakili sektor makanan & minuman, kosmetik dan penjagaan diri. Program Halal Home Grown Champion 2.0 2024 yang memfokuskan kepada pembangunan kapasiti dan daya saing syarikat di dalam rantaian bekalan halal. Sebanyak 7 buah syarikat tempatan yang terlibat terdiri daripada sektor makanan & minuman. Sekian, terima kasih,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.