PRK Nenggiri: Puteri UMNO Selaras Gerak Kerja, Sedia Raih Sokongan Pengundi Muda

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah melakukan penyelarasan bagi melaksanakan gerak kerja untuk meraih sokongan pengundi muda menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri awal bulan depan.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pergerakan terbabit akan mengenal pasti dan mendekati kira-kira lima hingga enam ribu pengundi wanita muda yang berusia 40 tahun ke bawah di DUN terbabit.

 

“Saya percaya, setiap pengundi adalah penting, penglibatan mereka memainkan peranan yang penting dalam memastikan kemenangan kita,” kata Nurul Amal.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

Selain mempersiapkan strategi bagi kemenangan untuk PRK Nenggiri, beliau menegaskan bahawa Puteri UMNO Malaysia akan memantau dan melaksanakan gerak kerja serta mendepani isu-isu yang mungkin dihadapi dari pihak lawan.

“Politik ini adalah marathon jadi perjalanan ini kita ambil sebagai satu kematangan. Dalam PRK atau untuk dan Pilihan Raya Negeri (PRN), serta menjurus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak, saya menganggap ini sebagai ujian penting bagi UMNO dan Puteri UMNO.

“Kita perlu menunjukkan semangat yang tinggi dalam masa yang UMNO memerlukan sokongan dari kami.

 

Sehubungan itu, beliau berharap jentera UMNO dapat meneruskan semangat ini dan tidak berputus asa dalam medan politik.

“Jadi masa depan UMNO adalah terletak daripada sayap wanita muda iaitu ke mana arah UMNO selepas ini dan saya harap untuk jentera di bawah dan seluruh Malaysia teruskan semangat dan jangan putus harapan kerana ini adalah medan politik yang mungkin pemimpin sebelum ini tak pernah rasa jadi kita rasa bertuah kerana ini adalah zaman kita.

“Macam mana kita nak olah dan bergerak inilah yang membuatkan parti kita lebih ke depan atau sebaliknya tetapi ambillah ujian ini sebagai satu momentum untuk kita melangkah ke arah yang lebih bagus dan untuk menampakkan sayap pergerakan Puteri lebih bersedia untuk politik Malaysia,” katanya lagi.

Dilaporkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit