Mohd Azmawi Fikri Calon BN Untuk PRK Nenggiri

KOTA BHARU, 18 Julai – Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Pengerusi BN negeri di Dewan UMNO Negeri, di sini.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat setelah berbincang dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.

“Saya telah dipertanggungjawabkan oleh Presiden UMNO (Ahmad Zahid) untuk mengumumkan bagi pihak beliau.

“UMNO telah meneliti senarai tiga calon yang dibuat secara kolektif setelah selesai berbincang dengan pihak perhubungan dan Mohd Azmawi Fikri dipilih oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid) sendiri untuk mewakill BN dan UMNO bagi PRK DUN Nenggiri,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahmad Jazlan juga berterima kasih kepada pimpinan UMNO Bahagian Gua Musang dan Ahmad Zahid dalam memberiKAN pandangan bagi membuat keputusan itu.

Mohd Azmawi Fikri, 38, merupakan calon muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk muncul johan Anugerah Belia Perdana pada 2022.

Selain itu, Mohd Azmawi Fikri turut komited dalam kegiatan belia serta sukarelawan melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Oleh itu, beliau dilihat paling sesuai dipilih menjadi calon BN pada PRK kali ini dan UMNO sentiasa menghormati, memberi kepercayaan serta menaruh harapan tinggi kepada orang muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti ini,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata beliau dan seluruh pimpinan Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan bersama Mohd Azmawi Fikri agar dapat memikul tanggungjawab besar yang diberikan.

“Insya-Allah, UMNO akan mendapat sokongan pengundi dalam DUN Nenggiri seterusnya diterjemahkan dalam bentuk kejayaan pada PRK ini,” katanya.

Beliau berkata kempen PRK DUN Nenggiri ini juga akan dibantu oleh parti-parti komponen BN dan parti gabungan Kerajaan Perpaduan serta badan perhubungan UMNO negeri-negeri yang telah diputuskan oleh ibu pejabat parti melalui mesyuarat petang semalam.

“Kita juga sedar ia bukan perkara mudah tetapi kami berjanji akan berusaha habis-habisan untuk mencapai kejayaan melalui kaedah serta pendekatan menyeluruh melibatkan semua jentera parti.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan merayu kepada pengundi-pengundi DUN Nenggiri tidak kira berada di mana jua agar dapat menyatakan sokongan dan memberi undi kepada calon BN Mohd Azmawi Fikri pada PRK ini,” katanya.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit