Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) Berperanan Penting Realisasikan Johor Maju 2030
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Isu kekurangan tenaga kerja mahir perlu diatasi untuk menampung keperluan bakat yang diperlukan industri selari dengan pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam usaha merealisasikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sejak 1 Januari 2024, jumlah pekerjaan telah meningkat dengan pesat di mana sebanyak 74,710 kekosongan pekerjaan diiklankan namun, hanya 51,946 pemohon kerja yang direkodkan.
Malah tambahnya, menurut statistik, 22.3% graduan di Johor bekerja dalam pekerjaan tidak setaraf dan 20% hingga 60% graduan Kolej Vokasional di Johor bekerja luar bidang atas faktor ketidakpadanan.
Justeru katanya, kerajaan negeri telah mencadangkan agar Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) ditubuhkan dan satu mesyuarat khas telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta dihadiri beberapa Menteri Kabinet di ibu negara.
“Saya yakin penubuhan ini adalah satu kerangka serampang dua mata, yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan industri terutamanya di Johor dan Malaysia secara keseluruhan.
“Insya-Allah, dengan dasar yang komprehensif dan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin JTDC akan memainkan peranan penting untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju serta menjadi rujukan utama dalam memenuhi keperluan tenaga mahir tersedia yang mencukupi dan mampan,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kementerian, agensi Persekutuan dan negeri yang memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan inisiatif ini.
Seterusnya ulas Onn Hafiz, antara perkara yang dibincangkan dan dipersetujui melalui mesyuarat tersebut adalah menjadikan JTDC sebagai pusat sehenti (one-stop centre) bersama Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) bagi memudahkan segala operasi, pengambilan pekerja serta kemasukan pelabur di Johor.
Begitu juga katanya menjadikan JTDC sebagai Pusat Perhubungan antara institut pengajian tinggi (IPT) dan industri untuk memperbanyak program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran, serta penempatan kerjaya secara terus.
Selain itu, melaksanakan kajian keberhasilan program dan kursus sedia ada, serta penyasaran semula kursus-kursus yang bertepatan dengan keperluan industri dan menjadikan JTDC sebagai Pusat Pengumpulan Data oleh kementerian, agensi dan pemegang taruh bagi kajian tenaga kerja dan keperluan industri. – UMNO ONLINE