HRD Corp: Cadangan PAC Wajar Diperhalusi, Atasi Sebaiknya Demi Kepentingan Semua Pihak

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata cadangan rumusan yang dibuat kepada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merupakan satu kecurangan tatakelola yang cukup-cukup tinggi dan mesti diatasi sebaiknya.

Menurut beliau ia tidak boleh hanya diatasi di peringkat pentadbiran, tetapi mesti mengubah supaya ia dapat menyumbang kepada daya saing negara yang akhirnya akan meningkatkan mutu dan nilai.

“Kerajaan memberi mandat kepada HRD Corp bukan mandat yang biasa. Kerana isu daya saing negara ini makin hari makin jatuh. IMD Report 2024 menyatakan negara kita telah jatuh ke tangga 67 daripada 34, dan ini semuanya adalah asasnya kepada produktiviti negara, dan produktiviti negara, tidak akan lari daripada mandat yang diberi oleh kerajaan kepada HRD Corp. Bukan sahaja mengutip ‘levy’, tetapi perlu membuat latihan kepada pekerja-pekerja, khususnya yang berada syarikat dalam Malaysia ini.

“Itu sebabnya saya yakin kalau kita tidak ada masalah tatakelola, mungkin sikit sebanyak akan memberi sokongan kepada laporan IMD 2024. Dan saya melihat 12 ke 14 cadangan rumusan yang dibuat kepada HRD Corp oleh PSC merupakan satu kecurangan tatakelola yang cukup-cukup tinggi, yang mesti kita atasi.

“Ia tidak boleh hanya diatasi di peringkat pertabiran, tetapi kita mesti mengubah bisnes model supaya ia dapat menyumbang kepada daya saing negara yang akhirnya akan meningkatkan mutu dan nilai kita. Kita berikan latihan yang cekap kepada rakyat Malaysia. Kita yakinkan pelabur di luar sana, mereka melabur di Malaysia ini akan mempunyai pekerja-pekerja yang akan diberi latihan. Bukan sikit,  0.5% kepada 1% yang dikutip.

“Dan tadi dinyatakan peningkatan begitu tinggi selepas kita jadikan keseluruhan sektor untuk dikutipkan levy. Tetapi kecurangan tatakelola ini perlu kita atasi segera supaya kita tidak melihat niat HRD Corp ketika diwujudkan. Saya teliti Hansard, ketika kita membincangkan perkara ini dalam Dewan Rakyat, begitu usaha murni untuk mastikan kita mendapat latihan yang secukupnya. Dan inilah HRD Corp mesti boleh melakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika membahaskan isu pengurusan dana latihan dan keberkesanan latihan program (HRD Corp) yang dibentangkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam pada itu, Mohd Shahar meminta agar bukan sahaja sahaja Company Limited Board Guarantee (CLBG), diberi perhatian oleh PSC, tetapi juga pengurusan GLC-GLC negara ini mesti mempunyai roh dan semangat rakyat Malaysia.

“Kerana apa? Kerana kita mesti mempunyai peneraju di GLC dan CLBG ini orang Malaysia yang mempunyai jiwa Malaysia, yang mempunyai rasa kasih sayang kepada Malaysia.

“Kerana apa? Kita kutip duit rakyat Malaysia dan kita perlu perkasakan rakyat Malaysia. Kita tidak boleh membiarkan mereka yang menerajui GLC-GLC dan CLBG ini tidak mempunyai rasa maruah dan tanggungjawab kepada negara kita,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.