Akar Umbi Pejuang Setia, Bersolidariti Kukuhkan Parti – Adham Baba
TENGGARA, 18 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ahli akar umbi adalah pejuang parti yang setia dan sentiasa mahu memastikan UMNO terus kukuh sebagai parti tunjang dalam negara ini.
Berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada hujung minggu lalu, Dr Adham mengucapkan tahniah kepada perwakilan kerana kesemua 55 Cawangan UMNO dapat bersidang dengan jaya dan penambahan Cawangan Puteri di Sepakat Jaya.
“Hari ini kita bersolidariti kerana kekuatan yang diperolehi daripada perwakilan. Mereka ini masih setia kepada parti kerana mengetahui parti keramat UMNO tiada galang-ganti.
“Tidak akan menjadi dua atau tiga malah ia tidak akan sama walau ada yang cuba salin kulit dari DNA UMNO ke parti yang lainnya,” katanya.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara Manndzri Nasib yang juga Ahli Parlimen Tenggara; Naib Ketua Hahasrin Hashim (Ahli Dewan Undangan Negeri Panti) dan wakil Penyelaras Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor daripada UMNO Bahagian Pengerang.
Seterusnya Dr Adham yang juga merupakan bekas Menteri Kabinet menghargai peranan yang ditunjukkan oleh akar umbi di dalam memastikan Cawangan UMNO berfungsi dengan baik.
“Oleh yang demikian, dalam persidangan inilah peluang diberikan kepada para perwakilan untuk menyuarakan segala permasalahan yang timbul dari akar umbi.
“Permasalahan diangkat oleh UMNO Bahagian dengan cara diperhalusi dan dimaklumkan setiap tindakan yang bakal diambil,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Adham juga menyeru setiap ahli parti agar memastikan UMNO tetap kukuh dan cemerlang supaya ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang terbilang.
“Hari ini kita mewarisi apa yang telah diperjuangkan oleh datuk dan nenek moyang kita terdahulu. Perit jerih, suka duka, pahit maung dan segala rasa dilalui untuk kita menikmati kesejahteraan yang mententeramkan ini.
“Ini terjadi kerana pengorbanan tanpa berbelah-bahagi yang telah diberikan. Kini giliran kita pula untuk meneruskan legasi kepada pewaris pertiwi yang akan datang. Apa yang hendak kita tinggalkan jika bukan parti UMNO yang terbilang.
“Kenapa parti UMNO? Kerana parti UMNO inilah satu-satunya parti keramat yang pernah kita bersumpah untuk menjaga agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Justeru, Dr Adham berpesan agar semua pendukung parti bersatu, bersetia dan berkhidmat sebagaimana cogan kata UMNO.
“Oleh yang demikian, bersatulah kita sepertimana orang Melayu tahun 1946 bersatu. Bersetialah sebagaimana pemimpin-pemimpin zaman kemerdekaan setia dan berkhidmatlah dengan amanah yang diberikan.
“Ini kerana tidak lain hanya untuk memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang terbilang yang dihasilkan dari kita yang diangkat sebagai pejuang,” gesanya.
UMNO Bahagian Tenggara juga katanya telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 dengan mewujudkan pelan strategi bagi memastikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menjadi simpanan tetap bagi Barisan Nasional.
Dalam majlis tersebut, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri menyampaikan anugerah tokoh UMNO Bahagian Tenggara kepada sepuluh penerima antaranya veteran UMNO Neg Mat Osman, 99 tahun dan Mohamad Ali, 86 tahun. – UMNO ONLINE