Puteri UMNO Kangar Bawa Usul Isu Pedofil, Perlu Dasar Lebih Tegas Bendung Kes Menular

KANGAR, 17 Julai – Kebimbangan dengan isu pedofil yang berlaku dalam masyarakat mendorong Puteri UMNO Kangar untuk mengusulkan perkara ini ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang diadakan semalam.

Ketua Penerangan Puteri, Nur Fathihah Halim berkata dasar lebih tegas perlu diwujudkan bagi membendung perkara ini daripada menular lebih serius dalam kalangan masyarakat di negara ini, sekaligus menyaksikan satu-satunya bahagian yang membawa usul ini untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan digesa melakukan saringan buat penjawatan awam berkaitan kanak-kanak ini dengan turut menyemak portal atau laman sesawang yang kerap dilayari mereka.

“Kita mahu isu pedofil diangkat secara lebih serius yang jika tidak dibendung akan memberi kesan lebih serius.

“Selain itu, agansi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu bekerjasama membendung isu pedofil,” katanya.

Menurut beliau, isu pedofil dibawa kerana melihatkan kebimbangan apabila sebanyak 2,722 kes telah direkodkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini sekali gus menarik perhatian agar masalah pedofil berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

Sementara itu, Nur Fathihah turut sama membentangkan usul berkaitan isu Raja, Agama dan Kaum (3R) dengan menggesa kerajaan melakukan penguatkuasaan lebih tegas dalam membendung isu 3R yang semakin membimbangkan tanpa mengira parti-parti politik.

Menurut beliau kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini.

“Pemimpin masyarakat di semua peringkat perlu menggerakkan aktiviti bagi terus menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap etnik di negara ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan sentiasa menambah baik perundangan sedia ada.

Ia termasuk Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang dipinda untuk mengadakan peruntukan bagi kedua-dua peruntukan substantif dan peruntukan tatacara mengenai keterangan saksi kanak-kanak dan Akta 676 akan menjadi perundangan utama yang memberikan tumpuan mengenai keterangan saksi kanak-kanak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.