Persempadanan Dimuktamad, 33 MoU Dimeterai Dengan Negara Jiran – Menteri Luar Negeri

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia telah menandatangani 33 perjanjian ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) persempadanan darat dan sembilan triti persempadanan maritim dengan negara-negara jiran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan persempadanan darat Malaysia dan Indonesia telah dimuktamadkan dan melalui pemeteraian 22 MoU.

“Bagi persempadanan darat yang melibatkan Malaysia dan Indonesia, jarak sempadan yang telah dimuktamadkan adalah sepanjang 1,943.2 KM iaitu 94.2 peratus daripada 2,064 KM melalui pemeteraian sejumlah 22 MoU.

“Manakala bagi persempadanan maritim yang terbaru, kedua-dua negara telah memeterai Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi pada 8 Jun 2023 di Putrajaya. Triti-triti ini akan dikuatkuasa dan dilaksanakan sepenuhnya setelah kedua-dua pihak menyempurnakan proses dalaman masing-masing.

“Persempadanan darat yang melibatkan Malaysia dan Brunei Darussalam yang meliputi jarak sempadan sepanjang 528.45 KM, kedua-dua negara sedang dalam proses rundingan bagi memuktamadkan sebarang Perjanjian/MoU,” kata Timbalan Presiden UMNO itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Datuk Henry Sum Agong (Lawas) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian apakah usaha kerajaan dalam menentukan garisan sempadan darat dan maritim di antara Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, berkata buat masa ini kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan telah berjaya dilaksanakan oleh kedua-dua negara yang meliputi jarak sepanjang 175.96 KM atau 33.3 peratus daripada keseluruhan jaraknya.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha untuk menyelesaikan isu persempadanan berpandukan garis masa yang telah dipersetujui iaitu selewat-lewatnya pada tahun 2034.

“Malaysia akan terus berunding dengan Indonesia dan Brunei Darussalam melalui mekanisme-mekanisme dua hala yang sedia ada bagi memuktamadkan persempadanan darat dan maritim,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.