MKBOKU Sentiasa Terbuka Terima Cadangan Dan Perhalusi Kesesuaian Kategori

KUALA LUMPUR,16 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menjelaskan sehingga Jun 2024, seramai 717,510 orang telah berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di seluruh Malaysia.

Jelas Ketua Wanita UMNO itu, kementerian melalui Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) sentiasa terbuka menerima cadangan dan memperhalusi kesesuaian kategori-kategori lain sebagai OKU di dalam Jawatankuasa Pendaftaran OKU di bawah MKBOKU.

“Sehingga kini, terdapat tujuh kategori OKU yang didaftarkan iaitu Kurang Upaya Pendengaran; Kurang Upaya Penglihatan; Kurang Upaya Pertuturan; Kurang Upaya Fizikal; Kurang Upaya Pembelajaran; Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai.

“Menurut Seksyen 24 Akta OKU 2008, pemohon boleh membuat rayuan sekiranya permohonan pendaftaran OKU ditolak dengan mengemukakan surat permohonan kepada Ketua Pendaftar.

“Permohonan perlu disertakan dengan laporan sosial pemohon untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pendaftaran OKU di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya bagi pihak Menteri untuk membuat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Syahredzan Johan (Bangi) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan sama ada pesakit yang menghidap penyakit kronik melemahkan (seperti penyakit Systemic Lupus Erythematosus) dikategorikan sebagai OKU dan sekiranya tidak, adakah pihak kementerian bercadang untuk meluaskan kategori OKU untuk masukkan golongan ini.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata walaubagaimanapun bagi individu menghadapi halangan perlu pengesahan daripada pegawai perubatan serta mengemukakan dokumen permohonan pada pendaftaran.

“Bagi situasi tertentu yang berkemungkinan seseorang individu menghadapi halangan dan menyekat penyertaan aktiviti dalam kehidupannya kerana anggota tubuh badan tidak dapat berfungsi sepenuhnya akibat penyakit yang dihidapinya, pengesahan dari Pegawai Perubatan / Pengamal Perubatan atau Pakar Perubatan boleh dikemukakan sebagai dokumen atau maklumat tambahan kepada permohonan pendaftaran.

“Seseorang individu yang ingin mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menjalani pemeriksaan oleh pegawai perubatan bagi mendapatkan pengesahan sebagai OKU.

“Pemeriksaan dan penilaian oleh pegawai perubatan tersebut akan menentukan seseorang itu dikategorikan sebagai OKU berdasarkan kefungsian mereka merujuk kepada tafsiran OKU di bawah Akta 685,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.