Klip Video Georgetown Festival 2024: Semua Pihak Diingatkan Lebih Peka – Reezal
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun video ‘teaser’ ‘Here and Now’ untuk mempromosi George Town Festival 2024 (GTF 2024) telah diturunkan, ia diharap menjadi pengajaran pada masa akan datang.
Tegas beliau video berkenaan yang tidak menyertakan klip seni budaya orang Melayu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah negeri.
“Ia jelas satu naratif yang tidak inklusif dan tidak mempamerkan kepelbagaian warisan George Town yang sebenar.
“Video itu telah menyinggung perasaan dan membangkitkan rasa tidak senang orang-orang Melayu, kaum terawal yang mendiami Pulau Pinang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi, adalah tidak wajar pihak-pihak yang terlibat langsung dengan penganjuran GTF 2024, iaitu Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang terlepas pandang perkara sedemikian.
Tambahnya sebagai orang yang pernah berada dalam barisan anggota pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan, beliau mengingatkan JKKN yang merupakan penjaga (custodian) seni dan budaya semua kaum di negara ini supaya berperanan lebih proaktif dalam memberikan input dan panduan kepada penganjur GTF 2024.
“Pada masa kita menyokong usaha keras mempromosi George Town sebagai destinasi tapak Warisan Dunia yang wajar dikunjungi oleh warga antarabangsa dan menggalakkan perkembangan Ekonomi Kreatif di Pulau Pinang, kita menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang.
“Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan,” tegasnya. – UMNO Online