Bung Moktar Ingatkan UMNO Sabah PRN Semakin Hampir… Bersiap Siagalah

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan ahli-ahli UMNO di negeri terbabit untuk bersiap siaga dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau turut memberi gambaran bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri termasuklah beroleh kemenangan bagi kerusi Parlimen.

“Pilihan raya ini kita lihat semakin hampir. Sudah berada di ambang dan saya ingin memberikan gambaran bahawa UMNO/BN mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan termasuklah memperoleh kemenangan di kerusi Parlimen Beaufort ini.

“Jadi apa yang para perwakilan dan jentera perlu lakukan pada masa ini ialah bersiap siaga. Pesanan saya, bersiap siagalah dari sekarang. Jangan lupa untuk mendekati rakyat dan rapatkanlah barisan kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Beaufort, pada Sabtu.

Bung Moktar turut menyeru seluruh perwakilan untuk bersatu dan sama-sama berjuang bagi mengembalikan semula maruah UMNO Sabah.

“Pepatah Melayu ada mengatakan… ringan sama dijinjing; berat sama dipikul, gunung sama didaki; lurah sama dituruni. Hati kuman sama dicecah; hati gajah sama dilapah, dapat sama untung; cicir sama rugi.

“Biar berdentum guruh di langit; biar kilat sambar-menyambar; biar kuda bertandang di kandang; ayam berlaga di reban… adat berkampung; kampung kita jaga, adat bersaudara; saudara dipertahankan; adat berparti; parti kita utamakan.

“Berjuang, terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Kita kembalikan maruah UMNO Sabah,” katanya.

Untuk rekod, persidangan cawangan UMNO seluruh negara telah berlangsung pada 22 April dan berakhir pada 2 Jun lalu.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian telah bermula pada 21 Jun dan bakal berakhir pada 29 Julai ini manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bakal dilangsungkan pada 21 hingga 24 Ogos ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.