Ahmad Zahid Yakin Kerjasama Semua Agensi Mampu Baiki Aliran Trafik Ibu Negara
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa dengan kerjasama semua agensi terlibat, risiko kemalangan dapat dikurangkan dan aliran trafik di ibu negara dapat diperbaiki.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan komited untuk memperkenalkan pelbagai langkah proaktif demi keselamatan pengguna di samping mengurangkan kesesakan trafik.
“Keselamatan dan kesesakan jalan raya merupakan isu kritikal yang mempengaruhi kesejahteraan rakyat serta keberkesanan sistem pengangkutan negara terutamanya di ibu negara.
“Dengan peningkatan jumlah kenderaan dan pengguna jalan raya setiap tahun, kerajaan komited untuk memperkenalkan pelbagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengurangkan kesesakan yang boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa inisiatif utama yang akan dilaksanakan untuk mencapai objektif tersebut.
“Pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bil.2/2024 yang berlangsung pada Isnin, kita telah mengenal pasti beberapa inisiatif utama yang akan dilaksanakan bagi mencapai objektif ini, termasuk penetapan had laju 30 km/j di kawasan sekolah, memperketat penguatkuasaan untuk mengurangkan kemalangan maut dan kajian lanjut mengenai alternatif untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
“Selain itu, penambahbaikan sistem pemantauan lalu lintas dengan 5,000 unit kamera CCTV di Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) juga akan membantu dalam pemantauan lalu lintas, bencana banjir, tumpahan konkrit, serta pemantauan jenayah oleh PDRM.
“Saya yakin, dengan kerjasama semua agensi yang terlibat, kita mampu mencapai sasaran untuk mengurangkan risiko kemalangan dan memperbaiki aliran trafik di ibu negara ini. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online