Semua Boleh Bercita-cita Nak Ganti UMNO Tapi Biarlah Rasional Dengan Berkhidmat – Fathul Bari

KANGAR, 15 Julai – Semua pihak berhak bercita-cita untuk menggantikan UMNO sebagai parti Melayu terbesar namun biarlah rasional kerana bercakap tanpa usaha dan berkhidmat tidak akan berjaya, kata Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Ujarnya, rakyat tentunya menolak golongan yang hanya bercita-cita tetapi tidak melaksana kerja.

“Macam contoh kita nak berdoa kepada Allah SWT agar kita berjaya tapi tak ada usaha jadi kita tak mahu orang yang macam ini.

“Rakyat nak melihat bukan saja yang boleh bercakap, bukan saja meminta, bukan saja berharap, tapi buktikan dengan bertindak-tanduk dan langkah yang diambil dengan jelas iaitu yang menunjukkan benar-benar menjaga rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau berpesan kepada ahli UMNO keseluruhan untuk terus melalui fasa hari ini kerana ianya mematangkan perjuangan dengan penekanan kepada kebersamaan.

“Betul kita telah melalui fasa yang pelbagai, pada saya fasa-fasa ini mematangkan kita. Ini adalah demokrasi mengajar kita tentang betapa pentingnya menekankan soal kebersamaan ketika mana kita berhadapan dengan sesuatu tekanan seperti mana situasi ini.

“Jadi saya berharap ahli UMNO terus konsisten bersama-sama dengan parti walaupun kita mungkin berbeza pendapat dan pandangan, itu ketepikan tetapi demi memastikan ada hasil positif ke depan kita bersangka baik, kita fokus menjaga kawasan masing-masing dengan cara masing-masing.

“Ini kerana rakyat melihat dan menilai, jadi kalau kita tak buat kerja dengan alasan saya tidak tak suka dengan kepimpinan parti saya, tak suka dengan orang ini… apapun kita tak buat jadi pada akhirnya orang akan menolak kita.”

Ujarnya, mana-mana pihak tidak boleh hanya bergantung kepada populariti semata-mata atau menggunakan aplikasi media sosial sahaja.

“Walaupun kita hari ini sosial media adalah platform paling popular tetapi akhirnya rakyat boleh melihat bahawa popular saja tapi tengok jalan rumah… longkang rumah tersumbat tak selesaikan jadi akhirnya rakyat mencari orang yang mampu buat khidmat demi rakyat,” katanya.

Dalam hal ini Fathul Bari menjelaskan bahawa UMNO Bahagian Kangar melaksanakan kerja sepanjang masa demi rakyat.

“Kita bekerja macam kerajaan jadi tak putus-putus bekerja sejak daripada lepas pilihan raya walaupun kita kalah tapi kita masih bekerja. Saya bukan kata kerajaan tak bekerja tetapi boleh dibandingkan dan boleh dirujuk peringkat kawasan, peringkat bawahan apa fungsi kerajaan Negeri Perlis dari sudut ‘engagement’ dengan masyarakat di bawah.

“Berbanding dengan gerak kerja yang diatur susun oleh UMNO sama ada di peringkat Parlimen Arau, di Parlimen Padang Besar dan juga Kangar kita masih meneruskan projek khidmat, kita punya tema pun ‘Khidmat For Kangar’, itu adalah tema yang kita bawa masa pilihan raya dan saya guna tema itu sampai ke hari ini.

“Jadi gerak kerja khidmat turun ke bawah sampaikan bantuAn tanpa mengira parti politik itu masih menjadi keutamaan,” ujarnya.

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa UMNO Kangar terus bekerja dan memastikan rakyat terbela.

“Jadi jangan ingat kami tak bercakap secara langsung, ‘attack’ secara langsung bererti kami tidak memantau… kami terus memantau di samping kami memperkasakan gerak kerja untuk memastikan rakyat di bawah terpelihara dan terjaga walaupun kami pembangkang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.