Pertambahan Cawangan: Nurul Amal Ucap Tahniah Kepada Puteri UMNO Kapar

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kapar kerana telah berjaya menambah 19 cawangan baharu di bahagian tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan keterujaan apabila melihat semangat ditonjolkan oleh para perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kapar, semalam.

 

“Selesai retreat di Janda Baik, Pahang terus ke Selangor bagi menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kapar.

“Teruja dengan semangat para perwakilan yang turut dihadiri Wanita, Pergerakan Pemuda dan juga mantan-mantan Pergerakan Puteri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar sayap Pergerakan Puteri UMNO di bahagian tersebut meneruskan perjuangan mereka untuk menarik sokongan anak muda kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Tahniah atas penambahan 46 cawangan baru berbanding 27 pada tahun lepas. Tahniah Puteri UMNO Kapar selesai Mesyuarat dengan jayanya.

“Teruskan perjuangan dan menarik sokongan anak muda kepada parti. Perkasa Puteri Pemangkin Perubahan,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat cawangan UMNO di seluruh negara telah diadakan bermula 22 April dan berakhir pada 2 Jun lalu.

Seterusnya, mesyuarat UMNO Bahagian-Bahagian dan sayap pula telah bermula pada 21 Jun lalu dan bakal berakhir pada 29 Julai ini manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan dilangsungkan pada 21 sehingga 24 Ogos ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit