Penggunaan Teknologi Tingkatkan Kawalan Keselamatan Sempadan Negara – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Dalam Negeri sentiasa komited bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa dipelihara dengan melaksanakan penguatkuasaan membanteras dan mengekang ancaman ke arah memastikan keutuhan wilayah Malaysia terus terjamin.

Timbalan menteri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah itu dilakukan menerusi agensi-agensi penguatkuasaan di sempadan iaitu Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PGA, PDRM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PPM, PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Beliau berkata ia dilakukan dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya, termasuk mempertingkatkan kemampuan teknologi dalam penguatkuasaan kawalan keselamatan sempadan negara.

“Penggunaan teknologi adalah sangat penting dalam meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara, memandangkan penugasan kawalan menjadi kompleks dan dinamik.

“Ekoran daripada ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan dan risiko penyeludupan barang-barang kawalan di sempadan, oleh demikian KDN setiap meneroka penggunaan teknologi baru, serta inovasi terkini sejajar perkembangan teknologi semasa dalam penugasan agensi keselamatan kawalan sempadan negara.

“Dalam memperkuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara, KDN melalui APMM telah menggunakan teknologi terkini dan yang berkemampuan untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan sebahagian kawalan sepadan meritim seperti Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA), sistem C4ISR bagi bantu operasi carian meritim, sistem Cospas-Sarsat bagi membantu operasi carilamat maritim,” katanya.

Shamsul berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi operasi PGA beliau berkata PDRM juga turut telah menggunakan teknologi terkini, kamera lintas tertutup iaitu sistem pemantauan sempadan, sebahagian kawasan pagar dan tembok sempadan di Padang Besar, Perlis.

Pada masa yang sama, Shamsul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata PGA dan PDRM dalam perancangan menggunakan teknologi bagi kawalan risikan keselamatan di kawasan operasi, yang menyaksikan penggunaan drone dan juga radar yang kedua-duanya dalam proses perolehan bekalan.

“Sebagai usaha ke arah memperkasa penggunaan teknologi AI dalam kawalan keselamatan sepadan, KDN kini dalam tindakan pelaksanaan kajian keboleh laksanakan pembangunan sistem National Border Security Control (NPCS).

“Cadangan pembangunan NBCS ini adalah sebagai langkah strategi KDN untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan sepadan Malaysia melalui teknologi terkini selari dengan perkembangan teknologi semasa dunia,” ujar beliau.

Shamsul Anuar dalam pada itu berkata pembangunan sistem NPCS yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan.

“Penggunaan berasaskan teknologi AI ini akan membolehkan pengesanan objek dilaksanakan secara efektif di samping dapat mengelakkan penggera palsu serta ia dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.