Wanita UMNO Laksana Gerak Kerja Bersepadu, Rangka Strategi Terbaik – Noraini

 

BALIK PULAU, 14 Julai – Wanita UMNO Malaysia terus melaksanakan struktur gerak kerja bersepadu untuk merangka strategi terbaik bagi dilaksanakan di semua peringkat.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata gerak kerja Wanita UMNO tidak pernah terhenti terutamanya dalam mendekati pengundi muda mahu pun golongan lain.

“Gerak kerja Wanita UMNO penuh dengan struktur. Apabila ianya berstruktur maka lebih mudah untuk mengatur dan segmenkan ‘target group’. Apa yang patut kita buat dan laksanakan untuk meraih undi. Tetapi cabaran kita adalah anak-anak muda sebab mereka masih belum kembali pada kita. Kita lihat pengundi Melayu sudah beransur-ansur menjauh dari kita.

“Saya meminta Wanita UMNO Balik Pulau agar dapat duduk berbincang, apakah strategi yang paling baik untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO. Ingat… parti UMNO ini banyak berjasa, kita berada di sini pun disebabkan oleh UMNO, anak-anak belajar pun disebabkan UMNO. Jasa parti ini tidak terhingga.

“Kita jangan tanya apa yang UMNO beri kepada kita. Tapi kita kena sumbang yang terbaik untuk UMNO agar parti ini terus relevan selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau di Dewan Budaya Kampung Seronok, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayob Hussein Shah, Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Norhafizah Osman, Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, Ketua Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, Aisyah Hussein, barisan exco dan kepimpinan Wanita UMNO bahagian.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap Wanita UMNO sentiasa setia dengan parti, berbakti dan melaksanakan tugas dengan baik apabila berhadapan dengan pilihan raya kelak.

“Wanita UMNO ini adalah jentera paling hadapan dan tulang belakang parti yang sentiasa setia, mahu berbakti, bertugas dan kadangkala tinggalkan keluarga hanya untuk memastikan calon-calon Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya.

“Kita ada peluang untuk kembali, banyak orang muda yang boleh diketengahkan dan percaya Wanita UMNO akan sentiasa membantu calon pilihan raya. Kita perlukan orang-orang muda untuk menjadi pelapis parti dan Insya-Allah di UMNO Balik Pulau ini mereka mampu dilaksanakan bersama,” jelas beliau.

Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 21 Jun hingga 29 Julai manakala Perhimpunan Agung UMNO akan beelangsung pada 21 sehingga 24 Ogos. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.