Johor Rancang Anjur Sukan Rakyat, Cungkil Bakat Baharu
KLUANG, 14 Julai – Kerajaan Negeri Johor merancang menganjurkan sukan rakyat pada peringkat akar umbi tahun depan bagi mencungkil bakat baharu yang berpotensi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah baru-baru ini.
“Di Johor, selain Sukan Bangsa Johor, kita juga mahu buat sukan rakyat sebab hendak merakyatkan sukan sampai ke peringkat kampung.
“Kita turun ke bawah pada peringkat akar umbi, lebih banyak bakat baharu boleh dicungkil termasuk golongan lebih muda,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Bangsa Johor di Stadium Kompleks Sukan Kluang di sini, malam tadi.
Onn Hafiz berkata, sukan itu juga dapat menjadi medium pencarian bakat dan atlet baharu bagi menggalas nama Johor ke kejohanan sukan pada peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata, Sukan Bangsa Johor yang memasuki edisi ketiga penganjurannya tahun ini berjaya menarik penyertaan 2,072 atlet.
Beliau berkata, kontinjen di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu berentap dalam empat acara dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang.
Katanya, johan bagi setiap sukan dipertandingkan akan terpilih mewakili DUN masing-masing untuk bertanding ke peringkat negeri.
“Johan keseluruhan akan menerima RM7,000, piala pusingan dan piala iringan, manakala kontinjen terbaik pula akan mendapat hadiah RM2,000 serta piala,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM1.86 juta diperuntukkan bagi menganjurkan Sukan Bangsa Johor tahun ini, yang antaranya bertujuan merakyatkan sukan dan mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia di negeri itu. – BERNAMA