Jangan Terpedaya Persepsi Yang Dibawa Pembangkang – Shah Headan
BALIK PULAU, 14 Julai – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayob Hussein Shah menasihati jentera parti khususnya Wanita UMNO Balik Pulau untuk tidak terpedaya dengan dakyah yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang.
Ini kerana katanya, naratif yang dibawa oleh pihak pembangkang mencipta persepsi semata-mata hanya untuk menjatuhkan parti UMNO.
“Pembangkang hanya mencipta persepsi untuk merosakkan UMNO dengan mewujudkan prasangka yang buruk pada parti ini. Maka pihak pembangkang mewujudkan dan menanam sifat kebencian pada masyarakat majmuk bahawa UMNO tidak boleh diberi peluang menerajui negara pada pilihan raya.
“Mereka juga menanam sifat kebencian yang mencipta pelbagai skandal pemimpin tertinggi parti seperti tuduhan tidak berasas sehingga dihadapkan ke mahkamah. Maka rakyat akan jadi meluat kepada pemimpin dan parti.
“… dan akhirnya pihak pembangkang dengan jelas mengatakan parti ini rasuah dan menghasut rakyat agar tolak UMNO pada pilihan raya. Apabila menghadapi keadaan seperti ini, kita masih lagi ada sifat cemburu, berkelahi sesama sendiri dan masih lagi membawa sifat-sifat yang merundumkan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau di Dewan Budaya Kampung Seronok, petang semalam.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad,Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Norhafizah Osman, Ketua Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, Aisyah Hussein, barisan exco dan kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau.
Tegasnya, serangan berserta hasutan ini akan berterusan kerana pihak pembangkang sedar bahawa Wanita UMNO adalah jentera yang berada di barisan hadapan.
“Konsep ini akan diteruskan. Perkara ini akan terus dibuat dalam kita tidak sedar akan kaedah dan cara mereka menyerang terutamanya jentera Wanita UMNO. Tidak ada parti yang mempunyai struktur terbaik selain dari UMNO.
“Kita lihat parti-parti lain tidak ada jentera yang hebat macam Wanita UMNO tetapi mereka menghancurkan ahli parti dengan kaedah-kaedah seperti ini,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, Shahedan juga harap Wanita UMNO dapat mencari pelapis parti dengan kadar segera.
“Saya harap Wanita UMNO Balik Pulau dapat mencari pelapis dan perlu yakin akan jasa parti. UMNO punyai ‘track record’ yang cukup baik dan tidak ada satu parti dalam dunia ini yang cukup berani meletakkan perjuangan pada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 21 Jun hingga 29 Julai manakala Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada21 sehingga 24 Ogos. – UMNO Online