Akmal Yakin UMNO/BN Dapat Rampas Kembali DUN Nenggiri

TASEK GELUGOR, 14 Julai – Pilihan raya ini seribu satu kemungkinan, hari ini boleh kalah, lusa boleh menang. Sudah tentu UMNO ada strategi yang tersendiri, demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yakin dan percaya UMNO dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya percaya dan yakin pada PRK Nenggiri ini kita akan usaha sehabis baik untuk merampas semula kawasan tersebut. Walaupun kita kalah dengan majoriti sebanyak 800, sebelum itu pun memang Nenggiri ini adalah kerusi UMNO.

“Sudah tentu sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, kita nak pilih calon yang terbaik. Jadi, di Nenggiri ini kita sudah ada calon Pemuda UMNO yang terbaik. Saya rasa calon tersebut boleh berkhidmat untuk rakyat Nenggiri dan juga orang tempatan, sokongan mereka dari peringkat akar umbi sangat kuat.

“Sudah tentulah Pemuda UMNO akan bawa satu nama untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO pusat. Tetapi apa terjadi sekalipun, ia akan tetap bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Dewan Midtown Perdana, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, hari ini.

Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa dan Pertanian Keterjaminan Makanan Negeri Melaka berharap para pemimpin UMNO dapat menyuarakan perkara yang benar walaupun pahit.

“Apa yang saya terapkan kepada semua kepimpinan Pemuda UMNO adalah mereka perlu berani bercakap benar walaupun ia pahit. Sebab apa? Kalau kita tak bercakap benar, maka kita tak berpijak di bumi yang nyata.

“Sudah tentulah pada hari ini rakyat nak melihat dan mereka menilai pemimpin mana yang sebenarnya boleh membawa suara rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit