Kejayaan Tidak Akan Muncul Sekiranya Budaya ‘Politik Satay’ Masih Diamalkan – Ahmad Zahid

KUALA  NERUS, 13 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa semangat yang dipamerkan oleh UMNO Terengganu bakal memberi sinar untuk UMNO kembali menerajui negeri tersebut sekaligus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Namun tegas beliau kejayaan itu tidak akan berlaku seandainya masih wujud sikap mementingkan diri sendiri apatah lagi budaya ‘politik satay’ terus hidup yang akhirnya merugikan parti.

“Kita yakin dan percaya dengan semangat serta istiqamah… Terengganu dapat diambil semula malah di Kuala Nerus kita rampas parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Namun kita perlu muhasabah. Apa yang dilakukan hingga Terengganu menjadi seperti yang kita lihat hari ini. Tentu ada faktor luaran dan dalaman… tentu ada faktor penolak serta penaik yang harus kita bedah. Kita harus terima kekalahan. Namun, itu telah berlalu dan sebagai pejuang parti kita harus bergerak bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Nerus, di sini pagi tadi.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat, Ketua UMNO Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan seluruh pimpinan yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan masing-masing tidak perlu beretorik sebaliknya sama-sama bergerak ke depan.

“Kita perlu muhasabah..tidak perlu kita beretorik apatah lagi berpidato panjang dan yang penting kita bekerja. Setelah Terengganu diambil alih oleh pihak lawan apakah mereka lebih baik daripada kita menerajui dahulu? Tdak lebih baik. Malah masa zaman, BN apa yang tidak dilaksanakan? Kita kalah sebab persepsi dan buruk sangka yang ditanam. Kita tidak menangkis apatah lagi menjawab.

“Sebaliknya kita tembak sesama sendiri dan tidak pernah rasa bersalah. Orang lain semua salah dan hanya diri kita betul. Jangan main ‘politik satay’ lagi. Ada tukang cincang… tukang kipas… tukang bakar… Berhentilah, kita mesti istiqamah dan bekerja kuat,” ujarnya.

Ujar beliau lagi budaya ‘politik satay’ adalah budaya lama dan walaupun wujud perbezaan pendapat, itu adalah perkara biasa dalam politik.

“Budaya ini budaya lama…politik ada perbezaan pendapat dan pertentangan. Kita mesti berubah dan kalau tidak berubah kita akan rebah. Di Terengganu, alhamdulillah… perlatikan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diterima semua ketua bahagian.

“Kita tunjukkan perubahan dalam UMNO Terengganu. Bukan Datuk Seri Ahmad Said tidak bagus. Bukan Datuk Seri Razif tidak bagus tetapi, kita tunjukkan perubahan dan ini menggambarkan kesatuan UMNO Terengganu cukup baik.

“Jangan lagi toleh belakang pandang ke depan…ganding bahu bersama untuk pastikan tidak ada mufaraqah sesama kita,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.