Ahli Parti Perlu Bangkit Dan Bina Kekuatan Bersama – Zawawi Othman

PASIR PUTEH, 13 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman menggesa ahli parti agar terus bangkit kembali mengorak langkah ke hadapan dalam usaha mewujudkan kekuatan dalam parti.

Katanya, sudah tiba masanya ahli parti perlu menumpukan usaha, memperbaiki semula dan memperkukuhkan parti serta lebih kuat memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kita kena bangkit… kita kena bangkit kerana kita adalah tunjang pada parti. Insya-Allah masa hadapan akan guna dengan sebaik mungkin. Biarlah kita tewas majoriti dengan 29 ribu dengan Pas tetapi selepas ini ia akan berubah.

“Landskap politik dalam negara sudah berubah dan begitu drastik, bila-bila boleh menang dan bila-bila boleh kalah. Sama juga dengan parti-parti yang lawan dengan UMNO. Mereka kalah di Melaka dan Johor tapi cemerlang dalam masa satu tahun. Perkara ini akan berlaku dalam negara dan tidak mustahil UMNO/BN (Barisan Nasional) boleh menjadi kerajaan kembali untuk menjaga rakyat Malaysia dalam keadaan harmoni dan sosial yang baik.

“Hanya UMNO saja yang berpengalaman dan hanya UMNO saja sebuah parti yang merancang dan bukannya dirancang. Kita tidak seperti Pas, Bersatu… mereka menang pilihan raya tanpa jentera yang kekal. UMNO mempunyai ketua cawangan yang ramai cuma hari ini tidak ada penyokong saja dan insya-Allah selepas daripada ini akan bergerak dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Othmaniah, Pulau Lima, Semerah, di sini. 

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Saleh; Setiausaha Agung UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan UMNO Bahagian serta ahli parti.

Persoalannya tambah Zawawi adalah mengapa UMNO/BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Kerana dalam politik mesti kena pada tempat, masa dan ketika. Kalau ia kena dengan ‘molek’ dan berjaya diadakan Pilihan Raya Umum dalam bulan Mac atau April 2022, percaya parti ini boleh jadi kerajaan dan menang dengan cemerlang,” katanya.

Seterusnya, Zawawi yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan menasihatkan ahli parti agar jangan menjadi pengkhianat dan menjadi agen pada musuh UMNO.

“Kita jangan jadi ejen Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan Tun Dr Mahathir (Mahathir Mohamad). Ramai pemimpin UMNO yang kita agung-agungkan satu masa dahulu dan kerana pangkat, kuasa dan wang ringgit akhirnya mereka menjadi pengkhianat kepada parti. Parti UMNO yang telah memberikan mereka kesenangan, kekayaan, kekuasaan tetapi ‘dek’ pengkhianatan mereka UMNO tersungkur tetapi mereka akan tunggu satu masa nanti untuk kita sungkurkan mereka.

“Jangan kita jadi pengkhianat, yang pergi itu pergi meninggalkan kita sekiranya hendak kembali boleh diterima tetapi kena ikut peraturan. Jangan sesekali menjadi ejen Mahathir dan Muhyiddin, jangan sesekali… tolonglah. Presiden UMNO Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan dan mengekalkan parti ini sampai hari ini.

“Marilah kita berkerja, berganding bahu bersama-sama dan taat pada pemimpin untuk menjamin kestabilan, keadilan dan kekuasaan yang tidak menindas rakyat. Marilah bersama-sama dengan Presiden UMNO untuk menjamin masa depan, agama, bangsa dan tanah air… dan akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau harap ahli parti terus wala’ dan jalankan tugas masing-masing tetapi jangan mendahului parti dalam membuat sesuatu keputusan.

“Jangan sesekali kita menjadi presiden dalam parti, jangan ketua cawangan menjadi presiden parti, jangan perwakilan menjadi presiden, biar tugas presiden yang laksanakan. Kita sebagai ahli parti harus wala’ dan laksanakan sebagai tugas ketua cawangan,” tegasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.