Tolak Dakwaan Parti Malaya, Jasa UMNO Di Sabah Terlalu Banyak – Sharif Musa
KOTA KINABALU, 12 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menolak dakwaan pihak lawan yang menyerang UMNO dengan tuduhan ‘Parti Malaya’.
Tegasnya, kepimpinan UMNO Sabah sehingga kini dipimpin oleh anak jati Sabah dan bukan orang dari negeri lain.
“Terlalu banyak musuh yang menyerang UMNO Sabah kononnya parti Malaya. Saya nak jelaskan pemimpin peringat UMNO Sabah, adalah anak jati Sabah.
“Semua pemimpin UMNO Sabah yang tersenarai adalah anak jati bumi Sabah, penerus perjuangan UMNO yang telah memajukan negeri Sabah dari kampung dan pekan ke bandar hingga bandaraya.
“Telah terpahat dalam lembaran sejarah Negeri Sabah betapa besarnya sumbangan UMNO kepada kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat Sabah hari ini,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, UMNO telah berjaya memartabatkan kedudukan bangsa dalam Sabah dan pada masa sama menabur bakti untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya ingin ingatkan sekali lagi. Lima jasa terbesar UMNO di Negeri Sabah menjadi kebanggaan rakyat hingga hari ini iaitu Lebuhraya Pan Borneo, bangunan Jabatan Ketua Menteri Sabah, bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Masjid Negeri Sabah dan universiti-universiti dalam Negeri Sabah.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) UMNO-Barisan Nasional (BN) kalah, tiada lagi satu pembangunan atau projek yang boleh dibanggakan rakyat Sabah. Semua yang kita lihat pembangunan di Negeri Sabah adalah hasil dari pentadbiran UMNO-BN mengemudi Sabah.”
Bidasnya, hanya mereka yang berfikiran negatif akan membuat fitnah terhadap UMNO.
“Mereka yang selalu berpikiran negatif akan membuat tuduhan dan fitnah kepada UMNO. Buktikan apa jasa anda kepada bumi Sabah,” katanya lagi.
Terdahulu beliau bersama ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah dan kepimpinan negeri telah mengadakan mesyuarat di Bangunan UMNO Negeri Sabah di sini, semalam. – UMNO Online