PRK Sungai Bakap Jadi Iktibar, Perkasa UMNO Dengan Kembali Bersatu Untuk PRU16 – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru semua anggota UMNO khususnya di akar umbi untuk terus berusaha memperkasa parti dengan kembali bersatu padu.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap baru-baru ini menjadi ujian dan iktibar kepada UMNO apabila wakil Kerajaan Perpaduan menerima kekalahan.

“Kita harus berwaspada kerana tempoh hari kita tengok di PRK Sungai Bakap menjadi satu ujian kepada UMNO apabila wakil calon Kerajaan Perpaduan kita menghadapi kekalahan, ini agak sedih kerana kita jangkakan kita boleh menang tapi kita mengalami kekalahan.

“Oleh itu saya berharap dan menyeru semua akar umbi di bawah sana supaya kita bersatu padu demi memastikan UMNO terus kuat, memperkasakan setiap cawangan dan jentera-jentera kita untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, jika diukur tempoh dari sekarang maka masa yang tinggal bagi mendepani PRU16 tidak lama.

“Kalau kita ambil kira, kita hanya ada lagi dua setengah tahun untuk menghadapi PRU16 jadi pelbagai strategi dan langkah perlu diambil oleh UMNO untuk memastikan kita tahu bagaimana mahu mengambil hati pengundi-pengundi kawasan luar bandar dan bagi memastikan UMNO terus cemerlang pada PRU16, insya-Allah.”

Beliau percaya bahawa anggota UMNO akan terus bekerja dan berusaha khususnya memperkukuh parti dalam suasana mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang berlangsung sekarang.

Terdahulu beliau turut hadir dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar dan Mesyuarat UMNO Bahagian Gerik yang berlangsung pada Isnin dengan dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sungguh ramai sekali perwakilan yang hadir dan disertai dengan kehadiran ketua-ketua bahagian terdekat, ada ADUN-ADUN BN dalam negeri Perak dan anggota parti yang menyambut kehadiran Presiden UMNO Malaysia ini.

“Saya lihat semangat anggota akar umbi untuk bangkit kembali memenangi kawasan parlimen yang kita tewas dan semangat itu berkobar-kobar dikalangan anggota parti, insyaAllah,” katanya lagi.

Dilaporkan, mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian sedang berlangsung yang diadakan dalam tempoh bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Terdahulu, lebih 21,000 cawangan UMNO telah selesai melaksanakan persidangan yang bermula pada 22 April dan berakhir pada 2 Jun 2024, sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.