Kerajaan Tidak Akan Kompromi Pihak Ancam Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu mengenai ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.

“Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) Bil. 2/2023 telah bermesyuarat pada Khamis. Mesyuarat ini adalah bertujuan membincangkan isu-isu terkini berhubung ancaman keganasan di Malaysia, mengenalpasti strategi bagi menangani keganasan di negara ini secara komprehensif, penambahbaikan mekanisme pengurusan krisis keganasan serta memantau pengurusan krisis keganasan dan pelaksanaan ‘counter-narrative’ anti keganasan secara holistik. Keanggotaan mesyuarat adalah terdiri daripada Menteri dan Pegawai Kanan Kerajaan daripada kementerian dan agensi yang terlibat.

“Saya memulakan mesyuarat dengan menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu ancaman keganasan di Malaysia serta luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.

“Dari segi Indeks Keganasan Global, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam menangani keganasan dengan melonjak daripada kedudukan ke-68 daripada 163 negara pada tahun 2022, ke kedudukan ke-75 pada tahun 2023. Manakala dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal berada di kedudukan kelima daripada 10 negara dengan mengambil kira jumlah insiden, kematian, kecederaan, tebusan dan nilai kerosakan.

“Kedudukan yang lebih baik ini bakal memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi dan sosial negara. Walaupun keganasan bukanlah isu utama keselamatan negara pada masa kini berdasarkan indeks keselamatan global, perkembangan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan virus ditaksir berpotensi dieksploitasi elemen-elemen keganasan; lonewolf atau pack,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan secara konsisten melaksanakan proses deradikalisasi dan rehabilitasi ke atas individu-individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA digunakan sebagai undang-undang prosedur bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada tahun 2013, seramai 565 individu telah ditahan. Daripada jumlah tersebut, seramai 368 individu adalah warga tempatan. Sementara antara tahun 2013 hingga 2020, seramai 559 individu telah ditangkap dan selebihnya pasca COVID-19. Daripada statistik ini jelas menunjukkan penurunan intensiti aktiviti keganasan di negara ini kesan daripada pendemik ini.

“Pencegahan awal yang progresif dan bersasar dapat mengurangkan kes-kes tangkapan dan memberi peluang kepada individu terlibat untuk dineutralkan sebelum terjebak selain memberi peluang memulakan kehidupan baru yang lebih baik. Untuk itu, Kerajaan secara konsisten melaksanakan proses deradikalisasi dan rehabilitasi ke atas individu-individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Ancaman keganasan masih wujud di rantau Asia Tenggara namun ancaman tersebut bersifat sederhana-rendah. Malaysia khususnya, merupakan sebuah destinasi transit popular operatives Foreign Terrorist Fighters (FTFs) untuk melancarkan serangan di kawasan-kawasan lain. Kebanjiran warga asing daripada rantau Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika turut menjadi punca kepada perkembangan aktiviti keganasan di Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga sedang memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan kumpulan-kumpulan pengganas dan telah bekerjasama dengan pasukan-pasukan keselamatan dari negara jiran.

“Kerajaan turut memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan oleh kumpulan-kumpulan pengganas seperti DAESH, Jemaah Islamiyah dan lain-lain. Kerajaan telah bekerjasama dengan pasukan-pasukan keselamatan dari negara-negara jiran untuk membendung serta mengenal pasti individu-individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan sama ada melibatkan warganegara Malaysia atau warga negara asing.

“Tindakan yang dilaksanakan bagi menangani ancaman dan juga penyebaran fahaman-fahaman berkaitan keganasan adalah dengan menyalurkan maklumat hebahan berkait ancaman keamanan dan kesejahteraan negara melalui strategi komunikasi yang bersesuaian bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat serta mempromosikan inisiatif kerajaan dalam mengawal ancaman keganasan di seluruh negara. Pelaksanaan program-program kesedaran turut dilaksanakan berdasarkan tiga teras iaitu patriotisme, keagamaan dan langkah pencegahan melalui siaran program di televisyen, penerbitan, siaran radio, media sosial serta ceramah kesedaran.

“Saya menyatakan komitmen bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara serta menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.