Dari Parlimen: Peruntukan Lebih Baik Untuk Keterangan Saksi Kanak-Kanak

Berikut Bacaan Kali Yang Kedua RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 Oleh Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen:

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 dibacakan untuk kali yang kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] yang sedia ada memperuntukkan mengenai perkara berhubungan dengan keterangan saksi kanak-kanak dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, pada Mac 2023 yang lalu, pindaan kepada Akta 676 telah dibuat untuk julung-julung kalinya sejak Akta 676 mula berkuat kuasa pada 31 Disember 2007, untuk menambah baik perlindungan terhadap saksi kanak-kanak dengan menaikkan umur saksi kanak-kanak daripada enam belas tahun kepada lapan belas tahun, dengan memasukkan peruntukan yang berhubungan dengan pendengaran khas bagi saksi kanak-kanak memberikan keterangan dan dengan melarang soalan tidak wajar kepada saksi kanak-kanak.

Pindaan-pindaan ini telah mula berkuat kuasa pada 11 Julai 2023. Namun, didapati masih terdapat keperluan untuk menambah baik peruntukan keterangan saksi kanak-kanak yang sedia ada untuk, antara lain, memastikan layanan sama rata diberikan kepada kanak-kanak dalam sistem undang-undang negara, agar selaras dengan, dengan izin, global standards.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memberikan sedikit gambaran mengenai pengalaman yang perlu ditempuhi oleh seseorang saksi kanak-kanak. Bayangkan seorang anak kecil berusia 7 tahun dalam suatu keluarga yang dibelenggu isu keganasan rumah tangga atau seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kepada pembuli siber. Kanak-kanak ini menjadi saksi utama dalam perbicaraan di Mahkamah dan perlu menceritakan pengalaman yang dilalui kepada hakim dalam persekitaran Mahkamah yang tidak mesra kanak-kanak, sambil berhadapan dengan para peguam yang berbicara dalam bahasa undang-undang dengan izin, legal jargon.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sistem perbicaraan dan proses pemberian keterangan di Mahkamah adalah suatu pengalaman yang menggerunkan kepada orang dewasa, bayangkan ketakutan yang dialami oleh seorang kanak-kanak. Selain itu, cara penyoalan dalam mahkamah amat berbeza dengan cara kanakkanak berkomunikasi. Prosedur seperti pemeriksaan balas, dengan izin, crossexamination boleh menyukarkan dan mengganggu saksi kanak-kanak akibat caranya yang berkonfrontasi dan agresif.

Tambahan pula, kedudukan undang-undang keterangan saksi kanak-kanak yang sedia ada bersifat diskriminasi dan lapuk, termasuklah andaian undang-undang lapuk bahawa kanak-kanak terdedah kepada fantasi dan tidak boleh dipercayai.

Maka, faktor-faktor ini boleh menyebabkan kekurangan laporan dengan izin underreporting dan ibu bapa tidak mahu terlibat dalam proses perbicaraan ataupun melibatkan kanak-kanak dalam prosedur mahkamah.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai negara ahli kepada Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak, dengan izin Convention on the Rights of the Child (CRC) sejak 17 Februari 1995, kita hendaklah memastikan usaha berterusan dilaksanakan untuk melakukan yang terbaik untuk kanak-kanak di negara kita. Dalam hal ini, dengan izin, General Comment Bilangan 12 Tahun 2009 berkenaan hak seseorang kanakkanak untuk didengari, dengan izin the UN Committee on the Rights of the Child bahawa semua kanak-kanak berhak untuk memberi keterangan dalam prosiding kehakiman, tanpa mengira umur. Dengan izin, the UN Guidelines on Justice in Matters Involving Child Victims and Witnesses of Crime juga menyatakan dengan jelas bahawa setiap kanak-kanak harus dianggap sebagai saksi yang berkebolehan dan keterangan mereka tidak boleh dianggap tidak sah atau tidak dipercayai hanya kerana usia kanak-kanak itu semata-mata.

Sebagai langkah ke hadapan bagi menggerakkan usaha berkenaan dengan pindaan fasa kedua ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah mengadakan beberapa sesi libat urus berkaitan cadangan pindaan dasar yang berkaitan bersama dengan Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (OCC SUHAKAM), pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada wakil-wakil agensi Kerajaan, ahli akademik, pakar undang-undang keterangan, UNICEF dan organisasi masyarakat sivil (CSO) termasuk Child Rights Innovation & Betterment (Yayasan CRIB), Voice of the Children, Kemban Kolektif, Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Monsters Among Us (MAU), Firma Pakar Runding ENGENDER, Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS), Persatuan Peguam Wanita (AWL), Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), dan All Women’s Action Society (AWAM) bagi membincangkan hala tuju serta mendapatkan input dan maklum balas penyediaan dasar dan membincangkan parameter cadangan pindaan kepada Akta 676.

Dengan mengambil kira semua maklum balas yang diberikan oleh pihak-pihak berkepentingan, cadangan-cadangan pertimbangan dasar telah disediakan, secara khususnya yang melibatkan pindaan kepada Akta 646 serta Akta-Akta yang memperuntukkan mengenai keterangan saksi kanak-kanak.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Cadangan Rang Undang-Undang ini mengandungi 5 fasal, dan bertujuan untuk meminda Akta 676 dengan objektif utama untuk membuat peruntukan yang berhubungan dengan keterangan saksi kanak-kanak yang lebih baik. Pada masa kini, Akta 676 mengandungi peruntukan berkenaan dengan cara saksi kanak-kanak memberikan keterangan sementara peruntukan substantif yang berhubungan dengan kekompetenan saksi kanak-kanak dan keterangan saksi kanak-kanak yang diberikan dengan sumpah atau selainnya serta peruntukan mengenai sokongan keterangan saksi kanak-kanak adalah dinyatakan dalam Akta Keterangan 1950 [Akta 56].

Selain Akta Keterangan 1950, perundangan lain, iaitu Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 194], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77] juga mengandungi peruntukan mengenai keterangan yang diberikan oleh saksi kanak-kanak. Dengan pindaan kepada Akta 676 untuk mengadakan peruntukan bagi kedua-dua peruntukan substantif dan tatacara mengenai keterangan saksi kanak-kanak, Akta 676 akan menjadi perundangan utama yang memberikan tumpuan mengenai keterangan saksi kanak-kanak dan oleh itu, pindaan berbangkit perlu dibuat kepada Akta Keterangan 1950, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Sumpah dan Ikrar 1949, Akta Kesalahan Keselamatan (LangkahLangkah Khas) 2012 dan Akta Angkatan Tentera 1972 untuk meniadakan peruntukan yang perlu mengenai keterangan yang diberikan oleh saksi kanakkanak.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pindaan-pindaan ini juga akan dilaksanakan dalam Mesyuarat kali ini.
Perincian dan penjelasan lanjut mengenai fasal-fasal di bawah rang undang-undang ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam naskhah biru, dengan izin, blue bill.

Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk menggantikan tajuk panjang Akta 676 supaya selaras dengan peluasan skop Akta 676 untuk memperuntukkan mengenai kedua-dua aspek tatacara dan substantif bagi keterangan saksi kanak-kanak.
Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 2 Akta 676 dalam takrif “saksi kanak-kanak” untuk membetulkan takrif itu dengan memotong rujukan mengenai seorang tertuduh.
Fasal 4 bertujuan untuk memasukkan ke dalam Akta 676 Bahagian baharu IA dan 1B.

Bahagian IA mengandungi seksyen 2A, 2B, 2C dan 2D yang berhubungan dengan kekompetenan saksi kanak-kanak, keterangan saksi kanak-kanak yang diberikan dengan sumpah atau selainnya, inkuiri mengenai kekompetenan saksi kanak-kanak dan keupayaan saksi kanak-kanak untuk memahami sifat sumpah dan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan yang diberikan dengan sumpah atau selainnya masing-masing.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kehendak mandatori bagi sokongan keterangan saksi kanak-kanak telahpun ditiadakan bagi maksud pensabitan tertuduh bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual kepada Akta itu serta pensabitan tertuduh bagi kesalahan keselamatan sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747].

Prinsip keterangan sokongan dan penggunaan “amaran” tentang keterangan kanak-kanak adalah berdasarkan andaian undang-undang lapuk bahawa kanak-kanak terdedah kepada fantasi dan tidak boleh dipercayai. Andaian lapuk ini adalah berdasarkan common wisdom dan bukannya sains atau bukti. Kini, tanggapan bahawa kanak-kanak lebih cenderung untuk berbohong, mudah dimanipulasi atau mengelirukan fakta dengan fantasi telah ditolak oleh penyelidikan dengan pembuktian sains.

Sebagai tindak balas kepada bukti ini, prinsip undang-undang keterangan sokongan mandatori dan keperluan untuk memberikan amaran tidak lagi wujud di negara-negara undang-undang am dengan izin common law seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand bermula pada 1980-an.

Bahagian IB pula mengandungi seksyen baharu 2E bertujuan untuk memberikan panduan kepada Mahkamah dalam memulakan pengurusan kes di bawah seksyen 172B Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan arahan berkenaan dengan cara saksi kanak-kanak memberikan keterangan dan bagaimana pemeriksaan saksi kanak-kanak akan dijalankan. Pemberian arahan itu adalah mandatori apabila pengurusan kes itu adalah berkenaan dengan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] atau kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual kepada Akta itu jika mangsa ialah kanak-kanak.

Seksyen ini selanjutnya memperuntukkan bahawa dalam memberikan arahan itu, Mahkamah boleh mengambil kira, antara lain, umur saksi kanak-kanak itu dan keperluan khas saksi kanak-kanak itu. Menjadi matlamat peruntukan ini untuk memastikan pertimbangan awal dibuat mengenai langkah di bawah Akta 676 yang akan digunakan untuk membantu saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan supaya perkiraan yang sesuai boleh dibuat bagi memastikan perbicaraan berjalan dengan lancar. Sebagai tambahan, pemberian arahan semasa pengurusan kes akan memberikan masa yang mencukupi kepada pihak-pihak untuk membuat persediaan sewajarnya dan mengurangkan bantahan dan gangguan semasa pemberian keterangan oleh saksi kanak-kanak yang akan mengganggu perasaan saksi kanak-kanak dan memanjangkan proses pemeriksaan.

Fasal 5 bertujuan untuk meminda seksyen 6 Akta 676 untuk memasukkan subseksyen baharu (2A) yang membenarkan rakaman video keterangan saksi kanak-kanak diterima sebagai keterangan tanpa disertakan dengan transkrip dalam bahasa asal yang digunakan dalam rakaman video itu dan terjemahan bahasa asal yang digunakan dalam rakaman video itu, dengan syarat Mahkamah berpuas hati bahawa penyediaan transkrip bahasa asal itu tidak boleh dilaksanakan.

Adalah diharapkan bahawa melalui cadangan pindaan ini, kanak-kanak dan ibu bapa akan lebih yakin untuk melaporkan kesalahan dan lebih selesa untuk memberi kerjasama dalam prosiding jenayah jika mereka yakin kepentingan kanak-kanak yang terlibat akan dijaga.

Kanak-kanak juga boleh mendapat keadilan tanpa melalui trauma tambahan atau dengan izin, secondary victimisation, dan mereka boleh memberi keterangan dengan lebih baik dan akan mendorong kepada perbicaraan yang lebih adil memandangkan keterangan oleh kanak-kanak akan diberi layanan yang sama seperti saksi-saksi lain.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
sebaik manapun hasrat di sebalik pindaan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat pada setiap peringkat pelaksanaan undang-undang (baik pegawai polis, peguam mahupun Mahkamah) supaya hasrat sebenar di sebalik undang-undang ini difahami secara jelas, lantas dapat dikuatkuasakan sebaik yang mungkin.

Dengan izin, It is not the enactment of a piece of legislation per se but the implementation of the law that ultimately matters. Maka, keberkesanan undangundang bergantung pada cara ianya dikuatkuasakan dan dilaksanakan bagi rakyatnya.

Dalam hal ini, terdapat keperluan bagi latihan yang sesuai dilaksanakan secara berterusan dan berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semua pihak yang terlibat mengenai semua aspek undang-undang baharu ini.

Sememangnya, cadangan pindaan ini menggambarkan iltizam politik, political will, Kerajaan MADANI ke arah terus mereformasi undang-undang negara ini selaras dengan arus perkembangan masa dan standard antarabangsa.

oleh:
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Undang-undang & Reformasi Institusi

***********************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit