PRK Nenggiri: BN Bakal Wakili Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah bersetuju untuk meletakkan calon Barisan Nasional (BN) sebagai wakil calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persetujuan tersebut dicapai ketika sidang mesyuarat yang telah berlangsung pada Selasa.

“Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju BN diletakkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Nenggiri.

“Keputusan itu dicapai ketika mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Julai 2024 lalu. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Pimpinan Tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Pimpinan kedua-dua parti akan memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 16 Ogos depan.

Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, yang hilang daripada PPBM.

Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK DUN berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan injunksi terbabit. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.