KESUMA Tawar Program Lebih Fleksibel, Kerjasama Syarikat Impak Tinggi – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merancang gerak kerja bagi mewujudkan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Premium sebagai salah satu inisiatif Kementerian bagi menjenamakan semula TVET di bawah KESUMA.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata inisiatif ini adalah salah satu usaha KESUMA untuk menawarkan program-program yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan industri dengan bekerjasama syarikat-syarikat berimpak tinggi dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
“JTM melalui pelan strategik JTM 2021-2025 telah menyenaraikan beberapa sektor utama untuk dibangunkan bersama pihak industri. Antara teknologi yang telah dikenal pasti ialah automasi pertanian di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar bagi sektor pertanian.

“Tenaga boleh baharu seperti Smart Energy di ILP Kepala Batas dan Hidrogen di ILP Miri bagi sektor utiliti dan pengangkutan Rel di ILP Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan pelan kementerian  memperkasakan ILP di seluruh negara untuk memastikan tenaga kerja yang dilatih untuk memenuhi keperluan industri termasuk industri berkemahiran tinggi.

Pada masa yang sama Abdul Rahman juga menjawab soalan tambahan dari beliau apakah langkah kerajaan untuk mengelakkan pertindihan dalam bidang TVET.

Jelasnya, bagi mengelakkan pertindihan pelaksanaan program, KESUMA melalui JTM telah menetapkan hanya satu institut peneraju yang akan membangunkan setiap teknologi baharu yang telah dikenal pasti bagi memastikan agihan peruntukan dan pembangunan tenaga pengajar pakar dapat dibuat dengan lebih berkesan.

“JTM telah menetapkan 18 institut daripada 32 ILJTM untuk melaksanakan program pembangunan teknologi baharu mengikut sektor masing-masing dan pembangunan kepakaran pengajar adalah berdasarkan 10 kluster teknologi yang telah ditetapkan.

“Pertindihan kursus di ILJTM disebabkan terdapat keperluan mengikut lokaliti dan bagi menampung jumlah permohonan yang tinggi. Ia juga sebagai program persediaan (feeder) ke program di peringkat yang lebih tinggi.

“JTM telah melaksanakan kajian rasionalisasi program latihan kemahiran di JTM dan telah menyusun semula program yang ditawarkan serta peringkat pengajian bagi mengoptimumkan sumber yang ada,” katanya lagi.

Ujarnya, ILP Selandar yang mempunyai kadar permohonan yang rendah telah ditransformasikan kepada ILJTM TVET Tahfiz mulai 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.