JP Morgan Naik Taraf Penarafan Malaysia

JP Morgan bertindak menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Dalam wawancara dengan stesen media CNBC semalam, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (bekas Jepun/China), Rajiv Batra menyifatkan tahap kemajuan Malaysia sebagai memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 4.2 peratus.

“(Keadaan ini) menjadikan kami positif terhadap Malaysia dan apa yang lebih menarik, semua tanda-tanda ini dicatatkan pada tahun lepas.

“Pertumbuhan pendapatan misalnya hampir menjejaki tahap 10-11 peratus yang juga satu peningkatan yang mengejutkan. Kami perlu memberi pujian kepada negara itu dan atas alasan ini, kami menaikkan penarafan itu kepada neutral,” katanya.

Rajiv turut mengetengahkan tindakan Malaysia mengambil langkah berani dalam penyasaran subsidi, termasuk diesel selain memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan diberi bantuan tunai secara bulanan.

“Rakyat juga menyedari bahawa penjimatan wang daripada subsidi itu akan dimanfaatkan bagi tujuan ekonomi yang lebih produktif sama ada dalam aspek literasi, latihan kemahiran semula atau dasar gaji progresif yang menyaksikan Malaysia cuba mengambil inspirasi daripada pengalaman Singapura,” katanya.

Beliau berkata kerajaan semasa yang telah mentadbir selama satu setengah tahun, terbukti menjalankan tugas dan “sedang mengotakan janji.”

Ini termasuk meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar seperti pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Lebih penting lagi, kerajaan ini meneruskan konsolidasi fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan dengan menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus.

“Lihat saja di ASEAN pada tahun ini yang menyaksikan aliran keluar (dana) US$7 bilion dalam ekuiti ASEAN.

“Malaysia juga (tidak terkecuali apabila) bermula pada paras rendah dengan aliran keluar hampir US$150 juta hingga US$160 juta pada suku pertama, namun pada suku kedua, pelabur asing kembali dengan (aliran masuk dana) kira-kira US$200 juta,” katanya.

Rajiv berkata selain aliran pelaburan dalam pusat data, perjalanan Malaysia dalam segmen kenderaan elektrik serta tenaga hijau juga seharusnya mendapat pujian.

“Mengambil kira semua faktor-faktor ini, pelabur asing melihat bahawa wujud pelbagai sektor serta idea yang boleh dimanfaatkan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Rajiv berkata Malaysia juga muncul antara pasaran besar dari segi permodalan pasaran sepertimana Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Kami melihat pelabur asing mengambil beberapa langkah baharu, namun tahap pemilikan asing masih pada 19 peratus dan belum mencapai kemuncak potensi pada 35-40 peratus,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit