Pindaan Kanun Keseksaan, Tatacara Jenayah Keperluan Mendesak Lindungi Rakyat Daripada Jenayah Penipuan Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, petang tadi.

Beliau berkata cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan Akta 574 bagi membanteras penjenayah penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan sebagai usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat negara adalah lebih terjamin.

“Kelompongan perundangan ini adalah keperluan mendesak untuk melindungi semua lapisan rakyat Malaysia daripada mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian ini. Cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan meliputi dua skop utama pertama peruntukkan baru bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan akaun keldai, kedua tafsiran financial instrumen dan payment instrument.

“Cadangan RUU ini mengandungi dua fasal yang melibatkan perwujudan empat seksyen baru. Fasal satu mengandungi tajuk ringkas yang dicadangkan dan kuasa menteri untuk menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa akta yang dicadangkan. Fasal dua bertujuan untuk memasukkan peruntukan kesalahan-kesalahan baru berkaitan dengan akaun kaudai secara khususnya dengan memasukkan seksyen baru 424a, 424b, 424c ke dalam akta 574,” katanya pada sesi Dewan Rakyat, petang tadi.

Menurut Azalina, seksyen baru 424a yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemilikan atau kawalan terhadap mana-mana instrument pembayaran orang lain atau mana-mana akaun di institusi kewangan tanpa kuasa yang sah.

Manakala, seksyen 424b bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrument pembayaran atau akaun di institusi kewangan kepada mana-mana orang lain tanpa kuasa yang sah.

“Sub seksyen 424c (1) yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi menggunakan instrumen pembayarannya atau akaun di institusi kewangan tanpa maksud yang sah.

“Sub seksyen 424c (2) yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi menggunakan instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun di institusi kewangan tanpa maksud yang sah.

“Fasal dua ini juga bertujuan untuk memasukkan subseksyen baru 424d untuk mengadakan peruntukan bagi takrif financial institutory dan payment instrument dalam konteks seksyen-seksyen baru 424a, 424b, 424c yang dicadangkan.

“Takrifan financial institution dimasukkan untuk merangkumi apa-apa bank ataupun bank islamik yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Akta 758 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islamik 2013 Akta 759 serta institusi-institusi yang telah ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 Akta 618,” katanya.

Menurut beliau, pemasukan takrifan-takrifan ini bertujuan untuk memastikan pemakaian seksyen ini merangkumi akaun-akaun yang telah didaftarkan di institusi kewangan serta instrument pembayaran seperti kad debit dan termasuk juga e-wallet.

Cadangan pindaan kepada Akta 574 kata Azalina pastinya akan memberi impak positif kepada masyarakat umum dan dapat mengengkang jenayah dalam talian yang menggunakan kaedah akaun keldai sebagai modus operandi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.