Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Pantau Persiapan Rapi Penganjuran ASEAN-Malaysia 2025 – Mohamad

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Persiapan untuk Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 sedang dilakukan meliputi persediaan daripada sudut substantif dan logistik.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia dilakukan dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan (JPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, untuk merancang, menyelaras, melaksana dan memantau persiapan tersebut.

“JPK ini disokong oleh Majlis Menteri-Menteri dan dibantu oleh Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan dari kementerian-kementerian yang akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ASEAN di bawah seliaan masing-masing.

“KLN juga telah menubuhkan Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) bagi menyelaras persiapan logistik bagi persidangan-persidangan utama dan mesyuarat-mesyuarat di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri di bawah Tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN.

“Bagi Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN dan Tonggak Komuniti Sosio-Budaya, penganjuran mesyuarat dan program akan diselaraskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Datuk Seri Amirudin Shari (Gombak-PH) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut memaklumkan sehingga bulan Jun 2024, terdapat sebanyak 257 mesyuarat dan program di peringkat Pemimpin, Menteri sehingga Kumpulan Kerja di bawah ketiga-tiga Tonggak Komuniti ASEAN bakal dianjurkan di serata Malaysia pada tahun 2025.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa KLN telah mengenalpasti lokasi-lokasi mesyuarat ASEAN yang bukan hanya akan tertumpu di Kuala Lumpur tetapi juga akan diadakan di serata negara seperti di Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.

“Adalah penting agar persiapan untuk Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dimulakan dari sekarang, kerana mesyuarat-mesyuarat ASEAN akan turut melibatkan ASEAN+11 Rakan Dialog dan rakan-rakan luar yang lain.

“Oleh itu, pelbagai acara akan diaturkan sepanjang tahun hadapan dan KLN telah memohon kerjasama dari kementerian-kementerian, agensi-agensi dan negeri-negeri yang berkaitan untuk melancarkan persiapan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. KLN juga akan terus memantau persiapan logistik ini melalui SILA,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.