Program Peningkatan Pendapatan KEMAS Perkasa Ekonomi Bumiputera – Maizatul Akmam

LAHAD DATU, 9 Julai – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) komited dalam usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera demi memastikan peniaga-peniaga kecil di negeri ini tidak ketinggalan untuk sama-sama menikmati peluang yang ada dalam bidang ekonomi tempatan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu Datin Maizatul Akmam Alawi berkata, inisiatif yang dilaksanakan KEMAS secara berterusan ini dapat membentuk kekuatan antara rakyat pelbagai kaum yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara bersama dan komprehensif bagi memastikan Sabah terus berada dalam kelompok negeri berpendapatan tinggi.

“Untuk terus menyokong peniaga-peniaga kecil agar lebih proaktif dan meningkatkan daya saing masing-masing, KEMAS telah mewujudkan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR), Bahagian Pembasmian Kemiskinan (BPK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya berucap merasmikan program Sijil Kemahiran Modular KEMAS dekat sini baru-baru.

Menurut Maizatul yang juga Bendahari Wanita UMNO Malaysia, matlamat pelaksanaan PPP adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah B40 di luar bandar melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek ekonomi yang berupaya meningkatkan kualiti dan taraf hidup mereka.

“Di bawah PPP ini, pihak KEMAS akan menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada peserta agar mereka dapat menjana pendapatan yang lebih baik setelah bantuan diberikan,” katanya.

Selain itu tambah Maizatul, sokongan lain turut diberikan seperti bantuan berbentuk peralatan perniagaan, projek dan kursus serta pembiayaan kos latihan atau kursus kemahiran.

Sehubungan itu Maizatul mengajak rakyat khususnya suri rumah tangga agar mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan seperti program KEMAS yang turut menyediakan pelbagai peluang antaranya kursus-kursus jangka pandek dan panjang untuk disertai.

Katanya, ia bagi meningkatkan ilmu serta tahap kemahiran mereka dalam pelbagai bidang antaranya jahitan, kraftangan dan penyediaan makanan.

“Bagi tujuan ini KEMAS memberikan penekanan khususnya kepada peserta-peserta PPP untuk mendapat bimbingan, nasihat dan dipantau oleh agensi pelaksana dari segi latihan, kursus, pemilihan lokasi premis, perancangan aktiviti, belanjawan, pelaksanaan, kualiti dan pemasaran produk atau perkhidmatan.”

Tambah Maizatul projek yang dilaksanakan mestilah berdaya maju (viable) iaitu boleh memberi peningkatan pendapatan kepada peserta dan berdaya tahan (sustainable) serta mempunyai prospek pasaran untuk berkembang bagi maksud dikomersialkan.

“Peserta yang tidak berkemahiran, berpengalaman, tidak pernah mengikuti sebarang latihan atau kursus berkaitan projek diwajibkan mengikuti latihan atau kursus kemahiran asas projek.

“Meliputi kursus motivasi dan kursus asas kewangan bagi memastikan kejayaan projek, mendapat bimbingan dan pemantauan secara konsisten dapat dilakukan oleh agensi pelaksana,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.