Manfaatkan Sidang Parlimen, Hujah Berkualiti Bawa Dasar Baik Kepada Rakyat Dan Negara
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berharap persidangan Parlimen di Dewan Rakyat pada kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli-ahli Parlimen untuk membicarakan dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, peluang ini perlu digunakan untuk perbahasan berkualiti dengan mengetepikan bicara tentang politik dan memburukkan antara satu sama lain yang perlu dielakkan kerana pemimpin perlu menunjukkan tauladan yang baik.
“Bicara di Parlimen bukan tentang parti tetapi bicara berkenaan negara untuk memajukan Malaysia ini, meningkatkan taraf hidup rakyat, menjadikan rakyat yang bijaksana… itu sepatutnya dimainkan oleh ahli Parlimen.
“Kerana seseorang pemimpin yang mempunyai kemahiran hebat berbicara dan mempunyai kredibiliti dalam mempengaruhi keputusan kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.
Memasuki persidangan minggu ketiga, Azhar dalam pada itu meluahkan kekesalan dengan sikap pembangkang yang masih tidak matang.
Menurut beliau ini dapat dilihat apabila mereka menunjukkan sikap tidak profesional dan sering kali bertindak emosi ketika persidangan berlangsung.
Kata Azhar mereka sewajarnya perlu lebih berhemah dan bijaksana melontarkan idea bernas sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.
“Saya nampak perbahasan pembangkang tak menunjuk kepada kualiti kerana untuk menzahirkan perasaan tak bersetuju boleh tapi secara yang bijaksana bukan secara menjerit, maki hamun dengan menyebut ibarat kerajaan lembu kenyang itu tak menampakkan seorang yang ada intelektual.
“Menegur, mengkritik boleh tidak ada masalah sama ada nada yang kuat, nada yang perlahan, mesej tetap sampai tetapi kalau kita sampaikan secara yang keras dengan memaki hamun menggunakan kiasan yang tak menarik ianya tentu menzahirkan kebencian orang kepada mana-mana organisasi.
“Saya rasa kalau kita cakap baik-baik pun tak ada masalah, kalau cantik kerajaan pun saya hormatkan kepada pembangkang tapi kalau secara maki hamun ni saya rasa kerajaan pun tak hormat, tak peduli pun,” ujar beliau.
Terdahulu, istilah kerajaan ‘lembu kenyang’ disebut oleh Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sehingga mencetuskan situasi gamat dan pertikaman lidah mengenai penyasaran subsidi diesel yang dilakukan Kerajaan Perpaduan sejak 10 Jun lalu. – UMNO Online