Anak Muda Pelapis Parti Dan Negara, Santuni Mereka Tanpa Mengira Musim

KUALA LUMPUR, 9 Julai – UMNO tidak lagi boleh memencilkan peranan generasi muda dan semua pihak perlu mempergiatkan lagi usaha mencari anak-anak muda yang ingin berjinak-jinak dalam parti.

Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak berkata peranan kelompok itu penting dalam membangunkan semula dan mempertahankan kelangsungan parti.

Justeru katanya, sudah tiba masa untuk menyandarkan masa depan parti kepada generasi muda ini kerana anak muda adalah kemajuan parti dan bangsa Melayu.

“UMNO Setiawangsa perlu siap siaga dan mendekati pengundi-pengundi muda khususnya lepasan-lepasan pelajar yang cuba berjinak-jinak dengan parti. Kita perlu dekati mereka dan beri penjelasan serta menceritakan sejarah perjuangan UMNO yang sentiasa membela masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

“Generasi muda adalah pelapis parti dan juga negara. Kita jangan harap anak muda akan dekat dengan UMNO sekiranya hanya mendekati mereka secara bermusim sebaliknya perlu sepanjang masa dalam menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Sekiranya anak muda tidak mengenali perjuangan UMNO sebenarnya ia akan jadi satu perubahan yang drastik, paling penting ahli parti bergerak sebagai satu pasukan dan saling membantu supaya usaha kita untuk memastikan UMNO terus maju ke hadapan dapat direalisasikan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, UMNO perlu bersama dengan anak muda melalui pendekatan baharu iaitu menerusi platform digital dan teknologi.

“Saya harapkan akar umbi UMNO Setiawangsa dapat menggunakan kaedah yang terbaik dengan mendekati rakyat serta menggunakan platform media sosial dengan lebih luas lagi supaya apa yang hendak dilakukan dapat disaran dan diuar-uarkan serta disalurkan pada masyarakat.

“Di bandaraya ini susah hendak mendekati pengundi mahupun anak muda satu per satu. Hanya cara media sosial yang dapat menyatakan hasrat UMNO serta menjelaskan isu-isu khususnya masyarakat Setiawangsa.

“Walaupun pengundi Melayu ramai di Parlimen namun ahli parti harus menggunakan pendekatan yang menyeluruh yang membabitkan program-program agama dan ini membuktikan bahawa UMNO mengambil berat hal ehwal masyarakat,” jelas beliau.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.