UMNO Tak Boleh Dijual, Jangan Percaya Propaganda Negatif Burukkan Parti – Azalina

LANGKAWI, 5 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa tidak ada cerita berkaitan dakwaan menjual UMNO apabila bersama dalam Kerajaan Perpaduan kerana UMNO bukan barang dagangan.

Justeru katanya, jangan tertipu dengan mereka yang menggunakan propaganda negatif apabila UMNO bersama sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.

“Kita dalam UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang membantu untuk kestabilan negara dan berusaha memberi kembali kekuatan kepada parti kita.

“Kita juga menjunjung titah Agong untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan diikuti oleh parti daripada Sabah dan Sarawak demi masa depan negara.

“Tidak ada cerita kononnya menjual UMNO kerana UMNO tidak boleh dijual. Isu Melayu Islam ada dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi jangan tertipu dengan mereka yang menjual propaganda negatif kepada kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di Bahagian Langkawi, Rabu.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin serta anggota jawatankuasa dan ahli UMNO bahagian terbabit.

Ujar Azalina, Langkawi adalah pusat pelancongan negara yang memerlukan bantuan daripada kerajaan pusat maka misi mesti dilaksana bagi mengembalikan kawasan ini kepada UMNO.

“Kita mesti rampas kembali Langkawi supaya menjadi kawasan kita dan kita boleh bantu, ahli Parlimen Langkawi dan Menteri Besar Kedah hanya tahu cakap tapi tak buat.

“UMNO adalah parti yang beramanah, apa yang diberikan tugas kita lakukan. Kalau kita mempunyai gerak kerja dan strategi yang betul maka tentunya kita akan dapat kembali kerusi ini.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan bahawa selaku ahli Parlimen kerajaan, maka terdapat peruntukan dari kerajaan Pusat yang boleh digunakan untuk membantu rakyat.

“Kawasan saya sendiri di Pengerang, saya mendapat peruntukan dari kerajaan pusat dan saya dapat membantu masyarakat di kawasan saya, dari hospital hingga ke sekolah, kawasan saya sekitar 80 peratus adalah kawasan Felda dan pengundi saya adalah 90 peratus Melayu/Islam maka kalau saya bukan dalam kerajaan macam mana nak selesaikan masalah-masalah rakyat.”

Berkaitan hala tuju dan gerak kerja masa hadapan, Azalina memaklumkan bahawa pendekatan UMNO Malaysia mesti berubah memandangkan landskap politik semasa yang juga telah berbeza.

“Landskap politik kita berbeza dan sudah tidak macam dulu. Sekarang mesin dan teknologi menggantikan manusia. Dulu laporan kita berdasarkan turun padang jentera parti dari rumah ke rumah tetapi sekarang suasananya berbeza.

“Sekarang ukuran kuat tak kuat diletak dalam sosial media yang ada dalam poket masing-masing. Ukuran sokongan menggunakan media sosial dan membuat pilihan untuk mengundi berdasarkan kepada apa yang disalurkan dalam media sosial.

“Lihat PRU (Pilihan Raya Umum) lalu, macam mana pun kita berceramah, berucap, beri bantuan dan macam-macam tapi majoritinya yang membuang undi adalah melihat kepada info atau paparan dalam telefon,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.