PRK Sg Bakap: Ujian Demi Ujian Untuk Memperkukuh Kestabilan, Kemakmuran

PASCA Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, landskap politik Malaysia berubah yang menang tak semua menang, yang kalah tak semuanya kalah, juga yang lawan jadi kawan dan yang kawan jadi lawan.

Hari ini, Kerajaan Perpaduan diuji sekali lagi selepas beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk pilihan raya enam negeri yang berlaku tidak kurang dari setahun lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di N.20 Sungai Bakap di Pulau Pinang telah meninggal dunia dan sejurus itu kerusi tersebut dikosongkan untuk memberi laluan kepada PRK.

Ini merupakan PRK kelapan sejak PRU-15 dan ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Tidak kurang daripada 24 jam lagi kempen parti-parti politik akan berhenti dan keputusan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap adalah terpulang kepada rakyat di sana. Semua jentera dari negeri lain yang turun, akan pulang ke negeri masing-masing dan tinggal hanyalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat di sana sendiri yang akan diketahui pada 6 Julai ini.

Dari segi PRK ini, ia tidak akan memberi kesan kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah pun stabil. Ini bukan soal untuk membentuk kerajaan. Rakyat di Sungai Bakap perlu fikir ini adalah untuk pembangunan setempat di kawasan mereka.

Pemilihan ini memberi peluang sekali lagi kepada pengundi menentukan kawasan mereka dimiliki oleh parti pemerintah atau tidak, dan sudah tentunya rakyat perlu berfikir jika ia mengekalkan pembangkang di kawasan itu maka akan hanya merugikan rakyat – dari segi pembangunan, infrastruktur dan lain-lain lagi.


Paling penting, PRK kali ini adalah terjemahan semangat muafakat dalam kalangan parti politik Kerajaan Perpaduan dan jentera serta para penyokong bagi membolehkan DUN Sungai Bakap selari dengan kerajaan negeri dan memperkukuhkan kerajaan pusat sebagaimana yang sudah dimulakan 18 bulan lalu.

Ketika pilihan raya seperti ini, tentulah timbul sentimen-sentimen atau emosi-emosi oleh pihak lawan sama ada melalui sesi ceramah atau sebaran menerusi media termasuk bahan elektronik dan media sosial semasa.

Justeru kebijaksanaan terletak kepada pengundi di Sungai Bakap, iaitu penilaian yang tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan sentimen sahaja, malah perlu membuat keputusan yang rasional untuk kebaikan keseluruhan penduduk di kawasan itu.

Pembangunan adalah proses yang berterusan… selesai satu masalah, pasti akan timbul satu lagi, sebagai contoh isu air yang sedang digemparkan di kawasan itu. Jika peluang diberikan kepada parti pemerintah, adalah lebih mudah dan lebih proaktif bagi beliau untuk menyelesaikan masalah bersama kerajaan.

Sesungguhnya, kestabilan dan kemakmuran negara adalah satu perkara yang amat penting apatah lagi dalam agenda kerajaan menguruskan negara kerana tanpa fokus tersebut ia akan sukar yang impaknya akan memberi kesan langsung kepada masyarakat dan masa hadapan.

Kerana itu, penilaian dalam politik harus diketepikan dengan mendepani realiti yang ada di depan mata.

Kepada rakyat Sungai Bakap, selamat mengundi dan ingatlah ‘Undi Kita, Untuk Kita, Kerana Kita!’

Nur Dinie Mohd Fadil
Aktivis sosial
Ketua Penerangan Puteri UMNO Kuala Pilah

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit